Tempur rasuah adalah pengorbanan dan perjuangan rakyat
SHAH ALAM - Membanteras rasuah memerlukan iltizam diri yang tuntas, oleh itu semua pihak perlu mengambil peranan pada kapasiti masing- masing untuk memerangi dan mencegahnya secara tuntas.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, rentetan itu usaha memerangi virus rasuah ini perlu bermula daripada lubuk jiwa yang tulus, sungguh-sungguh dan cukup kental untuk menghadapi setiap cabaran transformasi.
Katanya, kesabaran, ketekunan dalam melalui ujian harta dan daya tahan diri terhadap kepayahan yang dilalui demi mencapai reda daripada ALLAH SWT adalah dorongan yang perlu dilalui dengan penuh ketulusan dalam memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.
"Kejujuran amat dititikberatkan dalam ibadah korban, untuk memilih yang terbaik sebagai haiwan korban yang disembelih mengikut prosedur tertentu dan diagihkan menurut peraturan sewajarnya dengan adil, tanpa diskriminasi.
"Aidiladha menyemai ke dalam diri setiap individu untuk bertindak selaras dengan agama dan sistem kepercayaan yang harus menjadi sistem operasi setiap insan dan dijadikan cara hidup seharian dengan prinsip yang teguh," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, nilai mulia yang digarap daripada ibadah korban dan ibadah haji harus menjadi panduan dalam kita mempraktikkan integriti sebagai benteng mencegah perbuatan mungkar seperti rasuah dan salah guna kuasa.
"Didikan spiritual melalui bulan haji dan ibadah korban amat bermakna dalam usaha pembenterasan rasuah ini. Umat Islam khususnya harus melaksanakan ibadah ini secara sukarela, ikhlas kerana ALLAH semata-mata.
"Ihsan turut terbentuk ketika hubungan ketuhanan yang perlu dijaga di samping berihsan sesama insan sebagai paksi ritual berkaitan.
Tegasnya lagi, ini bermakna melakukan yang terbaik seolah-olah kita mampu melihat Tuhan atau merasakan bahawa Tuhan sentiasa mengawasi tindak tanduk kita.
"Dilihat Menjadi muslim sejati melalui amal ibadah membentuk jati diri yang teguh. Jati diri akan membentuk karakter berintegriti yang bencikan rasuah dan bersedia membangun semula #NilaiMoralKarakterBangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!