Didik jiwa ‘Dalami Makna Bacaan Solat’

Muhammad merupakan penulis buku Dalami Makna Bacaan Solat.
Muhammad merupakan penulis buku Dalami Makna Bacaan Solat.
A
A
A

SHAH ALAM - Karya edisi kemas kini ‘Dalami Makna Bacaan Solat’ menekankan tentang aspek mendidik jiwa dan memahami makna bacaan dalam solat serta terjemahan bait-bait perkataannya.

Penulisnya, Profesor Madya Dr Muhammad Nazir berkata, ia diolah semula dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Jawi berserta penerangan hukum tajwid dan cara sebutan setiap perkataan Arab tersebut.

Menurutnya, sisi menarik di dalam buku tersebut mengandungi terjemahan asal atau makna ayat al-Quran itu sendiri contohnya Surah al-Fatihah, bacaan wajib dalam rukun solat yang hadir dengan pecahan beberapa huruf Hijaiyyah untuk pemahaman pembaca.

“Pengisian buku ini juga memberi pendedahan tentang tatacara berwuduk, bacaan dalam solat, doa-doa harian dan 22 surah lazim daripada Surah ad-Dhuha hingga Surah an-Nas," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Antara karya Muhammad.
Antara karya Muhammad.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Industri Selangor (UNISEL) berkata, penghasilan buku itu adalah salah satu usaha dalam membantu tingkatkan daya pemahaman anak-anak kecil kerana sasaran pembacanya ialah murid sekolah rendah.

Ujarnya, beliau mahu generasi akan datang lebih bersemangat untuk solat dan khusyuk apabila mereka mengetahui makna bacaan.

Ditanya mengenai maklum balas yang diterima, beliau menjelaskan, ramai ibu bapa yang menunjukkan minat mendalam.

“Kanak-kanak masa kini lebih tertarik kepada gajet dan hiburan serta penggunaan bahasa negatif, ini suatu perkara yang amat membimbangkan.

Antara pengisian buku Dalami Makna Bacaan Solat
Antara pengisian buku Dalami Makna Bacaan Solat

“Ibu bapa perlu pantau dan luangkan masa untuk mengajar mereka tentang solat kerana ia amalan yang diwajibkan ALLAH SWT dan harus kreatif dalam mendidik anak-anak,” ujar beliau.

Tambah Muhammad Nazir, ibu bapa memainkan peranan dalam pembentukan personaliti anak-anak seawal usia tujuh tahun dan mereka wajib didedahkan dengan solat.

“Kalau generasi sekarang tidak lagi taat kepada perintah ALLAH, takkan mereka nak taat akan perintah manusia (ibu bapa). Jika kita tidak mahu perkara itu berlaku, maka kita kena ubah mereka melalui solat,” katanya.

Untuk makluman, buku 'Dalami Makna Bacaan Solat' terbitan Karya Bestari itu boleh didapati pada harga RM23 di Karangkraf Mall, Shah Alam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!