Jemaah haji melontar dalam keadaan cuaca panas terik
MINA - Ratusan ribu jemaah melontar jamrah bagi menunaikan ibadah yang melambangkan lontaran batu ke arah syaitan pada Rabu, di bawah terik matahari di Arab Saudi.
Haji 1444h tahun ini adalah musim haji terbesar sejak pandemik Covid-19.
Sejak subuh di Mina, ratusan ribu jemaah haji mula melontar batu ke arah tiga tiang, sebelum bergerak ke Makkah untuk tawaf terakhir dengan berjalan mengelilingi kaabah di Masjidil Haram.
Lebih 1.8 juta jemaah haji menunaikan ibadah itu pada tahun ini dalam musim haji pertama tanpa sekatan sejak penularan Covid-19 pada 2020.
Sebelum itu, musim haji merekodkan kira-kira 2.5 juta jemaah pada 2019.
Selain perlu berasak dengan ribuan orang, jemaah haji juga perlu berdepan dengan suhu tinggi sepanjang menunaikan haji, yang ketika ini berlangsung pada musim panas di Arab Saudi.
Pada Selasa, suhu tertinggi direkodkan adalah 48 darjah Celsius, ketika jemaah haji berada di Arafat.
Suhu dijangka mencecah 47 darjah Celsius di Mina dalam tempoh beberapa hari bermula Rabu.
Sementara itu di Makkah, Masjidil Haram dipenuhi sejak awal pagi oleh jemaah yang berjalan mengelilingi kaabah, sambil mengucapkan tahniah antara satu sama lain kerana berjaya melengkapkan ibadah berkenaan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!