Ibu tunggal tabah jaga dua anak OKU
PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Itu peribahasa tepat bagi menggambarkan pengorbanan seorang ibu tunggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di sini yang menjaga dua anak orang kurang upaya (OKU) dalam serba kedaifan.
Norlilah Mansor, 54, tidak pernah mengeluh malah terus cekal menjaga anaknya Nordiana Syafiqah, 20, yang dikategorikan sebagai OKU masalah pembelajaran dan Mohd Ridzuan Rahman, 31, yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya sejak 10 tahun lalu.
Norlilah berkata, sejak bercerai dengan suaminya, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung hidup dengan hasil jualan kuih-muih yang diusahakan sendiri.
“Dengan pendapatan tidak menentu, sudah tentu ia merupakan cabaran untuk saya menjaga anak istimewa," katanya.
Ujarnya, hasil menjaja kuih itulah membolehkan dia memperoleh sedikit pendapatan yang digunakan untuk membeli barang keperluan harian dan lampin pakai buang Mohd Ridzuan.
“Namun, saya bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang keseluruhannya berjumlah RM900 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di PPR Lembah Subang baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai kisah anak sulungnya yang dilanggar sebuah kenderaan ketika pulang dari kerja, Norlilah berkata, dia sama sekali tidak menyangka anak lelaki yang diharapkan boleh membantunya suatu hari nanti kini hanya terlantar di atas katil.
“Otak Iwan (Mohd Ridzuan) jadi tidak normal, deria rasanya turut hilang disebabkan hentakan kuat yang menyebabkan urat saraf kepalanya terganggu.
“Ternyata kehidupannya berubah selepas empat bulan koma di hospital,” ujarnya.
Tambah Norlilah, paling terkilan tragedi itu berlaku tiga hari sebelum diaanaknya mendaftar masuk ke sebuah kolej.
“Cita-cita Iwan ingin menjadi pengurus syarikat makanan segera, sebab itu dia mahu sambung belajar,” jelasnya.
Terdahulu keluarga Norlilah menerima kunjungan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4 diketuai Ahli Majlis MBPJ, Ikhshan Mohamad Din.
Beliau turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Dalam pada itu Ikhshan berkata, beberapa perkara akan diberi perhatian pihaknya terutamanya melibatkan kekerapan Perkhidmatan Van Transit OKU Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi memudahkan Norlilah membawa anaknya melakukan terapi setiap minggu di hospital.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank 4596121033 atas nama Norlilah Mansor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!