Segera daftar, menabung dapat tunai haji usia muda
SHAH ALAM - Ibu bapa perlu bertindak segera dengan membuka akaun simpanan Tabung Haji (TH) untuk anak-anak sejak lahir bagi memastikan mereka dapat menunaikan haji pada usia muda sebelum mencapai umur 40 tahun.
Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak berkata, menerusi simpanan secara konsisten sebanyak RM200 sebulan selama 20 tahun membolehkan mereka mempunyai simpanan berjumlah RM48,000 dalam akaun TH sekali gus meningkatkan peluang menunaikan haji lebih awal.
"Paling penting adalah daftar dahulu akaun untuk pergi haji bukannya menyimpan duit tetapi tak daftar haji.
"Apabila sudah mendaftar dalam akaun TH maka mereka akan layak mengerjakan haji dan tempoh masa akan dikira bermula seawal kita mendaftar," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd Azri berkata, dengan simpanan RM1,500 sudah boleh membuka akaun TH dan mendaftar haji membolehkan setiap individu layak menunaikan haji pada masa akan datang.
Selain itu, beliau berkata, jemaah juga boleh membuat rayuan sekiranya TH mendapat kuota tambahan.
Katanya, kuota tambahan tersebut akan diberikan kepada mereka telah membuat rayuan selain itu ada juga jemaah mendapat tawaran telah tarik diri daripada menunaikan haji disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak boleh dielakkan.
Mengulas lanjut, Mohd Azri berkata, pemilihan giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran di mana sesiapa yang berdaftar dahulu akan didahulukan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan kelebihan kepada mereka yang sudah berdaftar dan berkemampuan dari segi kewangan mempunyai pilihan untuk mendapatkan pakej haji lebih mahal yang ditawarkan daripada pihak TH menerusi Tabung Haji Travel.
"Selepas lima tahun mendaftar, mereka boleh buat rayuan jika nama mereka belum lagi dipanggil (tunai haji). Ketika rayuan pihak TH memaklumkan terdapat pakej swasta yang masih kosong namun harga ditawarkan lebih mahal sebagai contoh RM80,000 ke atas.
"Jadi ia memudahkan urusan dan membuka jalan kepada mereka yang ingin menunaikan haji sekiranya berkemampuan dan sudah mempunyai ratusan ribu ringgit dalam akaun TH sebab itu pentingnya menabung sejak dari awal," jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Azri menjelaskan terdapat pelbagai cara untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji dengan syarat setiap individu itu berkemampuan dari segi kewangan.
"Ada juga tawaran kepada orang yang daftar namun syaratnya kena ambil pakej termahal sebagai contoh TH tawarkan pakej RM100,000 ke atas.
"Jadi individu tersebut tidak perlu menunggu dengan giliran lama nak daftar sebab diberi keistimewaaan berdasarkan kemampuan mereka," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!