'Ibu larang saya, adik guna duit raya beli mainan masa kecil'

Ahmad Syahid
Ahmad Syahid
A
A
A

SHAH ALAM - Tanda tanya yang menyelubungi diri apabila tidak dibenarkan membeli permainan sejak kecil akhirnya terjawab apabila Ahmad Syahid Ahmad Fawzal, 41, menerima panggilan daripada Tabung Haji (TH) untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menurutnya, ibu tidak membenarkan dia dan adiknya yang lain untuk membeli mainan sewaktu kecil setiap kali mereka mendapat duit raya.

Katanya, dalam diam rupanya ibu mempunyai rancangan sendiri yang mereka tidak tahu iaitu mendaftarkan kesemua nama anaknya di TH pada tahun 1997 ketika dia baru berusia 15 tahun.

Ahmad Syahid berkata, menunaikan haji di usia muda memberi banyak manfaat, antaranya mudah untuk melakukan ibadah.
Ahmad Syahid berkata, menunaikan haji di usia muda memberi banyak manfaat, antaranya mudah untuk melakukan ibadah.

“Kalau ikut tarikh panggilan, saya akan dapat pada tahun 2022 tetapi ALLAH sebaik-baik perancang dan Alhamdulillah tahun ini kami tiga beradik mendapat panggilan haji.

“Dua orang adik saya dapat pergi lebih awal kerana mereka menerima panggilan selepas hari raya puasa dan saya pula baru bertolak pada 19 Jun lalu,” katanya kepada SInar Harian sewaktu dihubungi.

Ahmad Syahid turut berkongsi pengalaman, hampir setiap detik di Tanah Suci dihargai dan pengalaman paling tak dapat dilupakan adalah ketika tersepit di antara rusuhan kecil jemaah haji dengan pasukan pihak berkuasa.

“Saya berseorangan (warga Malaysia) bersama jemaah haji warganegara lain berasak-asak dan akhirnya terpaksa mengerjakan solat Jumaat secara berdiri sepenuhnya.

“Ramai warga emas dan wanita yang pitam dan hampir pengsan, saya tak dapat bayangkan jika yang tersangkut dalam situasi ini adalah orang Malaysia,” ujarnya.

Gambar bersama adiknya di Mekah. Dari kiri Ahmad Al-Amin Ahmad Fawzal, 33 tahun dan Ahmad Muadz Ahmad Fawzal, 39, (kanan)
Gambar bersama adiknya di Mekah. Dari kiri Ahmad Al-Amin Ahmad Fawzal, 33 tahun dan Ahmad Muadz Ahmad Fawzal, 39, (kanan)

Dalam pada itu, dia mencadangkan ibu bapa mula membuka akaun TH untuk anak-anak sejak kecil kerana apabila sudah cukup had yang ditetapkan mereka boleh terus daftar untuk panggilan haji.

Tambahnya, menunaikan haji di usia muda memberi banyak manfaat, antaranya mudah untuk melakukan ibadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!