Penternak korban lembu sado kesayangan

Nik Mohamad Salahudin (tengah) bersama dua adiknya,Nik Shamsuliskandar dan Nik Sulaiman di samping Rudy ketika dinobatkan Prince of Sado ketika Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Jabi, Besut.
Nik Mohamad Salahudin (tengah) bersama dua adiknya,Nik Shamsuliskandar dan Nik Sulaiman di samping Rudy ketika dinobatkan Prince of Sado ketika Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Jabi, Besut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penternak memilih untuk mengorbankan seekor lembu sado baka charolais seberat hampir 1 tan bagi menyempurnakan ibadah korban pada tahun ini.

Walaupun banyak kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang tiga tahun memelihara lembu yang digelar sebagai Rudy, Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, 32, menganggap ia antara cabaran yang perlu ditempuh.

Haiwan kesayangannya itu akan disembelih kira-kira jam 11 pagi pada Khamis di Kandang Pok Nik, di Kampung Banggol Durian, Serada, di sini.

"Untuk korban tahun ini saya pilih lembu ternakan saya yang terbaik semoga amal ibadah kami diterima ALLAH SWT," katanya yang mengusahakan Ladang Pok Nik sejak 2018 bersama dua adiknya iaitu Nik Shamsuliskandar dan Nik Sulaiman.

Menurut Nik Mohamad Salahudin, Rudy yang berusia kira-kira tiga tahun empat bulan merupakan lembu hibrid dari baka charolais jenis inra franky.

"Saya mula menjaga Rudy ketika ia berusia 10 bulan. Ketika itu saya beli daripada seorang sahabat di Gong Badak di Kuala Nerus dengan harga kira-kira RM10,000.

"Sepanjang dalam jagaan saya sehingga kini berat Rudy lebih kurang 900 kilogram (kg)," katanya.

Ujarnya, lembu berkenaan pada mulanya dipelihara untuk menyertai pertandingan dianjurkan Jabatan Veterinar Malaysia.

"Antara 'event' yang Rudy pernah sertai ialah Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 yang diadakan di Jabi, Besut ketika berusia dua tahun.

"Dalam pertandingan itu Rudy mendapat tempat terbaik bagi kategori Prince of Sado di dalam pertandingan Lembu Sado Pantai Timur yang julung kali kami sertai sepanjang berkecimpung dalam dunia penternakan ini," katanya.

Kongsi Nik Mohamad Salahudin, seorang penternak pasti akan berdepan cabaran sepanjang memelihara haiwan ternakan.

Nik Mohamad Salahudin (tiga dari kiri) bersama dua adiknya merakam gambar bersama Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim (dua dari kiri) ketika Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Jabi, Besut.
Nik Mohamad Salahudin (tiga dari kiri) bersama dua adiknya merakam gambar bersama Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim (dua dari kiri) ketika Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Jabi, Besut.

"Cabaran semasa menjaga Rudy adalah ketika terkena penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga tidak dapat bangun, berjalan dan makan dalam beberapa minggu.

"Sepanjang tempoh itu kami jaga Rudy seperti manusia sakit, makan kami suapkan, kaki kami basuh dan sapu ubat semua kami urus sendiri dengan dibantu oleh pihak jabatan Veterinar Negeri Terengganu," ujarnya.

Menurut Rudy, mereka tiga beradik juga memelihara 12 ekor lembu sado lain terdiri dari baka charolais dan limousine.

Ujarnya, pemilihan dua baka itu memandangkan ia lebih popular dalam kalangan penternak lembu di Pantai Timur berbanding baka-baka lembu yang lain.

Katanya, minat terhadap lembu sado membuka ruang lebih untuk mereka menjalin hubungan dan mendapat kenalan baharu untuk berkongsi minat sama termasuk dari Thailand dan Indonesia.

"Sebenarnya Kandang Pok Nik diusahakan oleh ayah dan ibu dengan hanya menternak beberapa ekor lembu kampung.

"Pada 2018, saya buat keputusan jual semua lembu kampung ternakan kami dan membeli dua ekor lembu sado jantan dan betina dari baka jenis limousine," ujarnya.

Bercerita mengenai cabaran utama sepanjang bergiat dalam dunia ternakan, katanya, masalah sumber makanan membelenggu kebanyakan penternak.

"Masalah utama pelihara lembu ini ialah dedak. Harga dedak yang semakin meningkat dan kadang kala tiada bekalan menyebabkan kami dan semua penternak di luar sana mati akal.

"Banyak cara telah kami usahakan tetapi masih juga sama malah kami juga berdepan masalah untuk memasarkan lembu sado," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!