Pasar tani khas pra Ramadan bantu rakyat jimat belanja

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Pasar Tani Khas Pra Ramadan diharap dapat membantu rakyat berjimat sewaktu berbelanja selain menawarkan barangan kualiti pada harga berpatutan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bahawa pasar berkenaan menawarkan pelbagai barang keperluan menjelang ketibaan Ramadan ini seperti ayam dan telur, pada harga yang sangat rendah.

“Penurunan harga ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup ramai selain memudahkan pengguna untuk mendapatkan keperluan bekalan bahan yang mencukupi sempena menjelangnya bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasar Tani Taman Desa Kiara Sikamat & Pelancaran Pasar Tani Khas Pra Ramadhan Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Usahawan Fama Basri Jasmo dan Timbalan Pengarah (Pembangunan Usahawan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan Mohd Zaidi Ahmad.

Pasar Tani Khas Pra Ramadan berlangsung di Pasar Tani Tampin, Pasar Tani Giant Lukut, Pasar Tani Rembau, Pasar Tani Batu Kikir dan Pasar Tani Paroi Jaya, dari hari Khamis lepas sehingga esok dari jam7 pagi sehingga 12 tengah hari. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!