Tiga minggu selepas DUN bubar masa sesuai penamaan calon
GEORGE TOWN - Tempoh tiga minggu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah masa yang paling sesuai untuk hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dilaksanakan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau berpendapat tempoh berkenaan dikira memadai dan mencukupi untuk semua pihak menjalankan gerak kerja parti masing-masing.
"Hari Rabu (28 Jun) menandakan tarikh penting iaitu pembubaran DUN Pulau Pinang, maka apa yang dispekulasikan (pembubaran DUN) sudah jadi kenyataan dan tidak perlu spekulasi lagi... sekarang adalah spekulasi penamaan calon dan hari pengundian pula (mengundi PRN)," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.
DUN Pulau Pinang dibubarkan dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, beberapa perkara perlu dilakukan selepas pembubaran DUN antaranya menyiapkan manifesto, persiapan lantikan ejen tempat undi, ejen mengira undi dan bahan-bahan untuk publisiti.
"Selepas penamaan calon, kita masuk pula ke peringkat persiapan untuk dapatkan jentera berkempen, mengadakan lawatan bertemu pengundi, pengedaran risalah dan gunakan media sosial untuk sampaikan maklumat kepada pengundi... semua gerak kerja ini dilakukan sehingga ke kemuncaknya hari mengundi.
"Kita juga menyusun semua kerja-kerja ini kerana ia ada prosesnya tersendiri iaitu apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu dan seterusnya kerja-kerja lain (menyusul),” katanya.
Persidangan DUN Pulau Pinang yang pertama diadakan pada 1 Ogos 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun sepatutnya berakhir 2 Ogos ini.
Pada PRU14, PH memenangi 37 daripada keseluruhan 40 kerusi, termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi dan Pas (satu).
Sebelum DUN Pulau Pinang dibubarkan, PH memiliki 33 kerusi, BN (dua), Bersatu (empat) dan Pas satu kerusi.
Selain Pulau Pinang, negeri lain yang akan mengadakan PRN ialah Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!