Madonna tangguh siri jelajah dunia akibat jangkitan bakteria

Madonna bakal mengumumkan 84 tarikh bagi siri konsert jelajah dunia bulan depan. - Foto Instagram/Madonna
Madonna bakal mengumumkan 84 tarikh bagi siri konsert jelajah dunia bulan depan. - Foto Instagram/Madonna
A
A
A

PENYANYI terkenal Madonna menangguhkan siri konsert jelajah dunia selepas dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan bakteria.

Menurut pengurus penyanyi itu, Guy Oseary, jangkitan bakteria yang dialaminya adalah serius dan dia akan ditempatkan di ICU untuk beberapa hari.

Tambahnya, kesihatannya kini bertambah baik dan dijangka akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi.

Dia dipercayai menerima rawatan di sebuah hospital di New York, Amerika Syarikat (AS).

Madonna, 64, bakal mengumumkan 84 tarikh bagi siri konsert jelajah dunia bulan depan.

Konsert berkenaan diadakan sempena ulang tahun ke-40 single pertamanya 'Holiday' pada tahun 1983.

Siri jelajah berkenaan diberi nama 'Celebration Tour' dan merupakan penampilan pertamanya selepas konsert Madame X pada tahun 2019 dan 2020.

Beberapa konsert ketika itu turut dibatalkan akibat kecederaan yang dialaminya di bahagian lutut dan pinggul.

Siri konsert kali ini dijangka bermula di Vancouver, Kanada pada 15 Julai dan berakhir di Mexico City, Mexico pada 30 Januari tahun depan.

Siri jelajah ke Eropah dijadualkan bermula pada 14 Oktober di Arena O2, di London, England.

Lagu hit Madonna merentangi beberapa dekad termasuk 'Into The Groove' (1985), kepada 'Vogue' (1990) dan 'Hung Up' (2005) antara lain.

Pada tahun 2009, Madonna dianugerahkan Guinness World Record selepas menerima bayaran tertinggi oleh artis wanita susulan konsert jelajah 'Sticky & Sweet'.

Majalah Forbes menyenaraikan dia sebagai wanita ke-45 paling kaya di AS dengan kekayaan AS$580 juta (RM2.7 bilion).

Madonna membesar di Detroit, Michigan dan berpindah ke New York pada tahun 1978 bagi mengejar impiannya untuk menjadi seorang penyanyi dan penari terkenal.

Dia mempunyai enam orang anak dan minggu lalu dia mengucapkan tahniah dalam satu catatan di akaun Instagram miliknya, kepada anak kembar perempuannya yang berusia 10 tahun selepas tamat pengajian di sekolah rendah.

Awal tahun ini, abangnya, Anthony Ciccone, 66, meninggal dunia akibat ketagihan alkohol. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!