Malaysia milik kita, bukan segelintir orang terpilih - Bekas MP

Charles Anthony Santiago
Charles Anthony Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa membuat kenyataan berbaur kebencian dan berpotensi menjadi ‘bahan letupan’ apabila menyatakan bahawa terdapat orang bukan Melayu mahu menukar nama dan pemilikan Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kenyataan dibuat oleh Dr Mahathir itu disifatkan bahaya dan boleh memecahbelahkan negara.

“Orang bukan Melayu telah memberi sumbangan yang sama kepada pembangunan negara dan mereka juga telah ditawarkan kewarganegaraan.

“Oleh itu, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama kepada negara ini memandangkan ia adalah kepunyaan kita. Ia bukan milik segelintir orang terpilih,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Dr Mahathir mendakwa ada penduduk bukan Melayu mahu menukar nama dan pemilikan Malaysia.

Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM) itu dikatakan berulang kali mendakwa terdapat percubaan orang negara lain untuk mengubah Malaysia daripada tanah Melayu menjadi negara berbilang kaum.

Beritahu Charles, tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu adalah untuk memperlihatkan bahawa dirinya masih relevan dan sedang berusaha meningkatkan sokongan kepada ‘rakan baharunya’ menjelang plihan raya negeri.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum terdiri daripada pendatang yang membawa pelbagai budaya dan tradisi berbeza.

Tegasnya, tidak wajar bagi seorang bekas Perdana Menteri mencetuskan ketegangan kaum.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!