Beli lembu 'King of Sado' RM30,000 untuk korban

Muhammad menunjukkan lembu sado yang dibeli dengan harga kira-kira RM30,000.
Muhammad menunjukkan lembu sado yang dibeli dengan harga kira-kira RM30,000.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki sanggup membeli lembu sado berharga RM30,000 untuk membuat ibadah korban bersama isterinya di rumah keluarga di Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, pada Sabtu ini.

Muhammad Jantan, 28, yang bekerja sendiri, berkata, sejak Jun tahun lalu, setiap bulan dia akan pastikan dirinya menyimpan kira-kira RM2,500, sebelum berjaya membeli lembu sado berusia tiga tahun yang dipanggil 'King.'

Menurutnya, hanya mengetahui mengenai lembu sado itu daripada rakannya sebelum haiwan berwarna coklat itu tiba di Melaka pada pagi Rabu bersama makanan dan 500 kilogram habuk kayu bagi memberi keselesaan pada lembu itu.

Katanya, pemilik lembu terbabit sebenarnya enggan menjual haiwan tersebut yang pernah dipilih sebagai 'King of Sado' dalam himpunan Lembu Sado Utara 2022 dan 2023 namun membenarkan sekiranya lembu itu dijual untuk ibadah korban.

"Pemiliknya sayang pada lembu ini malah, dijaga dengan baik dan lembu ini mandi dua kali sehari.

"Pada mulanya dia enggan menjual untuk perniagaan dan sebagainya, namun kemudiannya menerimanya apabila saya memaklumkan mencari lembu untuk korban," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Khamis.

Bercerita tentang ibadah korban, bapa dua anak itu berkata, sejak berusia 18 tahun lagi dia telah melaksanakan ibadah berkenaan cuma berbeza ketika itu seekor lembu hanya berharga RM3,000 seekor bagi lembu kampung sebelum harganya kini mencecah RM5,000 seekor.

Ujarnya, merasakan diri berkemampuan dia meneruskan ibadah itu setiap tahun kecuali pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pemilihan lembu sado kali ini kerana mahu mengagihkan daging lembu kepada lebih ramai orang terutama golongan asnaf dan golongan B40 memandangkan rumahnya terletak di kawasan kampung.

"Kita juga dah bersiap sedia dengan lebih ramai petugas untuk tumbangkan lembu, termasuk kerjasama dengan pihak masjid bagi melancarkan agihan lembu kepada lebih 200 penduduk," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!