‘Hari paling gembira buat anak-anak kecil’ - Mat Sabu
SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkongsikan kisahnya ketika menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Masjid An Naim, Jalan Kebun.
Beliau meluahkan rasa teruja dan seronok kerana kehadirannya disambut oleh anak-anak kecil.
“Wajah ceria mereka membuatkan hati saya gembira dan bersyukur kerana negara kita masih aman dan damai walaupun kita hidup dalam kepelbagaian masyarakat dan etnik.
“Hari raya adalah hari yang paling gembira buat anak-anak kecil.
“Bukan setakat dapat melaram dengan baju dan kasut baharu, tetapi mereka jugalah yang paling seronok kerana mendapat duit raya,” katanya di Facebooknya pada Khamis.
Tambahnya, sebagai orang dewasa, menjadi tugas dan tanggungjawab untuk menunjukkan contoh tauladan yang baik dan menyediakan masa depan yang cerah untuk mereka.
Dalam hantaran sama, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!