Sekat media, langgar kebebasan bersuara
SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyekat kebebasan suara media.
Dakwa beliau, ia susulan dua portal berita iaitu MalaysiaNow dan Malaysia Today tidak boleh diakses kerana disyaki telah disekat.
"Jika benar, maka ini adalah pelanggaran serius terhadap kebebasan bersuara di Malaysia di bawah Anwar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Tambah Wan Saiful, sekatan portal berita itu merupakan penyalahgunaan agensi penguat kuasa untuk menutup mulut pihak yang mendedahkan ketidakcekapan kerajaan.
Menurutnya, sebelum ini, beberapa aktivis media sosial juga telah dipanggil untuk disiasat oleh pihak berkuasa.
"Semua ini adalah gejala sikap pentadbiran ini terhadap kebebasan bersuara.
“Pemerhati negara dan antarabangsa, sepatutnya tahu sekarang bahawa Anwar dan pentadbirannya sangat jauh daripada reformis yang mereka pura-purakan itu. Kita harus sedar bahawa ini adalah warna sebenar Anwar," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengesahkan tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk menyekat mana-mana portal berita di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil menjelaskan, beliau mengambil maklum sebuah laporan portal berita yang melaporkan senario ‘misteri’ tidak dapat diakses sepenuhnya oleh pengguna internet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!