'Sesiapa sahaja boleh terdedah rasuah'
SHAH ALAM - Rasuah tidak mengenal pangkat dan sesiapa sahaja boleh terdedah kepada gejala tersebut.
Pengerusi Rasuah Busters Negeri Pahang, Ir Dr Mohamad Rizza Othman berpandangan, kakitangan awam dan swasta sama ada gred rendah atau tinggi boleh terdedah kepada rasuah.
“Tidak dapat dinafikan dalam kalangan mereka ada yang terlibat dengan rasuah kerana kelangsungan hidup dan keperluan kewangan yang mendesakp,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, Yang Dipertua IKRAM Negeri Perlis, Profesor Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo berkata, pemantauan daripada ketua-ketua jabatan terhadap kakitangan gred rendah dalam tadbir urus sektor awam atau swasta perlu diperketatkan sebagai usaha mencegah mereka daripada terlibat dalam gejala rasuah.
Ujarnya, mereka yang dipilih sebagai ketua jabatan selain berkelayakan, perlulah mempunyai jati diri dan tanggung jawab tinggi untuk memantau segala aktiviti pekerja.
Bersetuju dengan kenyataan itu, Mohamad Riza turut berkata, rasuah tidak mengira sama ada kakitangan awam atau swasta gred rendah, mahupun pegawai tinggi.
“Membanteras rasuah perlu satu usaha yang kolektif dan komprehensif.
"Menyasarkan kepada kakitangan gred rendah sahaja tidak akan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh, banyak faktor lain yang perlu dilihat serta diambil kira,” kata beliau.
Beliau berkata, jenayah itu perlu dibanteras dengan lebih sistematik dan berterusan serta memerlukan komitmen pelbagai pihak seperti penglibatan daripada pengurusan tertinggi dan persatuan yang aktif dalam memerangi rasuah.
Tambahnya, pencegahan tersebut perlu dilaksanakan untuk membentuk satu ekosistem membanteras jenayah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!