Panggilan haji 50 tahun lebih awal, rezeki tak pernah salah alamat
KUALA LUMPUR - Rezeki tidak pernah salah alamat! Demikian kata Dr Iznee Adlina Mohd Sofi yang terpilih daripada 1.8 juta jemaah yang kini berada di Tanah Suci.
Berkhidmat sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan di Kuala Lumpur, Dr Iznee berkata, dia seolah-olah tidak percaya apabila namanya tersenarai untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Ini kerana mengikut perancangan awal, panggilan menunaikan haji beliau adalah pada tahun 2073.
Namun selepas permohonan rayuannya untuk menemani suami, Ahmad Hafizuddin Shamsul Bahri diluluskan, dia akhirnya selamat tiba di Makkah pada 5 Jun lalu.
“Saya anggap ini hadiah terhebat yang ALLAH SWT telah kurniakan buat saya yang tidak pernah saya jangka.
“Kalau ikutkan giliran tunai haji saya masih ada 50 tahun lagi daripada sekarang.
"Bila dapat tahu rayuan untuk mengikut suami diluluskan, saya tengok skrin telefon banyak kali.
"Ketika itu saya tengah hadiri kursus. Senyum sampai ‘telinga’ waktu itu.
"Macam tak percaya dijemput untuk mengerjakan Rukun Islam kelima tahun ini,” katanya kepada Astro Awani.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata ini, suaminya mula memiliki akaun simpanan Tabung Haji (TH) sejak lebih 14 tahun lalu.
“Alhamdulillah ia kelebihan kepada mereka yang sudah berdaftar lebih awal dan dipanggil dan menunaikan haji pada usia muda sebelum mencapai umur 40 tahun.
“Saya sangat bersyukur dengan peluang menjadi Dhuyufurrahman pada tahun ini.
"Apa-apa pun, ia adalah panggilan dari ALLAH, syukur Alhamdulillah” katanya yang juga sudah mula mendaftar haji untuk dua anaknya ketika masih bayi.
Berkongsi pengalaman di sana, Dr Iznee memaklumkan gembira dapat menjejakkan kaki buat kali pertama di tanah suci Makkah.
“Masa mula nampak Kaabah, tak boleh digambarkan perasaan saya. Sayu, gembira, teruja, semua ada.
"Bila dekat tanah air, saya hanya nampak Kaabah dalam TV, atas sejadah, kali ini depan mata. Subhanallah.
“Tambahan pula saya berpeluang berjumpa dengan sahabat karib dari zaman persekolahan.
"Ini betul-betul hadiah terindah daripada ALLAH SWT buat saya,” akhirnya penuh syukur. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!