Penternak atur strategi bawa lebih banyak stok lembu korban
SHAH ALAM - Penternak mula mengatur strategi membawa masuk lebih banyak bekalan lembu bagi memastikan harga jualannya lebih murah untuk ibadah korban tahun depan.
Penternak lembu dan kambing, Bujang Nasir, 58, berkata, sambutan pada tahun ini berkurangan kerana harga yang ditawarkan agak mahal sehingga menyebabkan orang ramai lebih memilih membuat korban di luar negara.
Bagi mengatasi masalah itu, dia mula membeli stok lembu hidup lebih awal dalam kuantiti yang besar agar dapat menjualnya dengan harga yang berpatutan.
“Saya sudah mula membeli stok lembu hidup sebanyak 100 ekor dari Thailand untuk dijual semasa Hari Raya Aidiladha pada tahun depan.
“Memandangkan kos makanan mahal, saya terpaksa menggunakan alternatif dengan mengurangkan kuantiti palet makanan dan digantikan dengan rumput napier,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Ujar beliau, satu bahagian daging gred A yang berjumlah RM850 akan dijual pada RM800 sahaja pada tahun depan kerana ingin menawarkan harga mampu milik kepada pembeli.
Tambahnya, walaupun terpaksa menurunkan harga, tetapi dia masih boleh mampu menanggung kos margin dan keuntungan.
Menurut Bujang, penternak lembu terpaksa melakukan strategi tersebut bagi menampung kerugian kerana tiada perancangan holistik yang dibuat oleh kerajaan bagi membantu penternak kecil.
“Harga lembu ditentukan oleh pasaran Australia dan Thailand, namun kejatuhan mata wang ringgit menyebabkan kita terpaksa membayar kos yang mahal untuk menstabilkan harga.
“Kita menjangkakan tahun depan keadaan ekonomi mungkin akan pulih. Ia secara tidak langsung dapat menstabilkan harga lembu dan orang ramai dapat membelinya pada harga yang berpatutan untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!