37 tahun derita Hemofilia tanpa penawar

Mohd Zulhilmi ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu. Gambar kanan: Mohd Zulhilmi ketika berada dalam wad kerana pengsan akibat pendarahan dalaman di perut secara mengejut di sebuah hospital di luar negara
Mohd Zulhilmi ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu. Gambar kanan: Mohd Zulhilmi ketika berada dalam wad kerana pengsan akibat pendarahan dalaman di perut secara mengejut di sebuah hospital di luar negara
A
A
A

SHAH ALAM - Menanggung sakit selama 37 tahun tanpa penawar

Itu penderitaan terpaksa ditanggung Dr Mohd Zulhilmi Paiz Ismadi yang menghidapi penyakit genetik, Hemofilia B.

Lebih mengejutkan lagi, Mohd Zulhilmi yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam itu berkata, pernah berdepan detik cemas apabila hampir kehilangan nyawa akibat pendarahan dalaman di perut secara mengejut sehingga menyebabkan beliau pengsan ketika belajar di luar negara.

“Disebabkan itu adalah ‘major bleeding’ (pendarahan teruk) jadi masa itu saya pengsan tidak sedarkan diri, tekanan darah memang sangat rendah. Ketika itu ia ditahap mengancam nyawa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Umpama hidup kali kedua, beliau berjaya diselamatkan apabila rakan-rakannya membawanya ke wad kecemasan di sebuah hospital untuk rawatan.

Menurutnya, selain berada di wad selama dua minggu, doktor terpaksa mencucuk empat jarum dan empat pam lengan di kedua-dua belah tangannya bagi memastikan tekanan darahnya kembali stabil.

“Ketika pengsan, kawan-kawan serumah nampak keadaan saya itu, jadi mereka panggil ambulans dan bawa ke hospital.

“Saya sedar dalam beberapa jam lepas itu, saya dalam keadaan sangat lemah,” ujarnya.

Mohd Zulhilmi yang juga pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu berkata, beliau turut mengalami beberapa komplikasi sejak zaman persekolahan lagi seperti muntah darah, kencing berdarah, pengsan, pendarahan dalaman dan bengkak teruk di beberapa anggota badan seperti siku, lutut, buku lali serta lain-lain.

Menurutnya, kehidupan yang dilaluinya dahulu berbeza dengan orang lain malah terpaksa korbankan waktu kanak-kanaknya akibat penyakitnya.

“Saya selalu dalam dilema untuk bermain dan bersukan dengan rakan-rakan. Kita bukan tak nak berseronok tetapi kena cari jalan lain.

“Nak kata pengorbanan itu, ibu bapa saya (banyak berkorban) sebab mereka perlu ulang-alik tolong saya. Adik beradik pun banyak berkorban sebab bila sakit, ibu bapa banyak tumpukan pada saya,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, beliau juga berdepan dengan stigma negatif daripada beberapa pihak termasuk gurunya sendiri yang berpandangan golongan pesakit hemofilia sukar untuk berjaya berbanding orang lain.

Bagaimanapun, dengan tekad dan berkat sokongan ibu bapa, rakan-rakan serta tenaga pengajar lain, Mohd Zulhilmi berjaya mengubah hidupnya sehingga berjaya memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari institusi pengajian luar negara pada usia 26 tahun.

Jelas Mohd Zulhilmi yang kini mempunyai pengalaman selaku tenaga pengajar selama lebih tujuh tahun itu, pencapaian tersebut sekali gus membuktikan bahawa sesiapa pun mampu berjaya melalui usaha berterusan dan semangat tekad yang kuat.

Penyakit hemofilia adalah gangguan perdarahan yang berpunca kurangnya protein faktor pembekuan darah dalam tubuh.

Ketika pesakit hemofilia mengalami luka, luka tersebut akan ambil masa sangat lama untuk sembuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!