Malaysia gesa Sweden henti tindakan provokatif bakar al-Quran

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan keji pembakaran al-Quran di Sweden pada sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, tindakan keji di luar masjid di Stockholm pada hari kegembiraan, perayaan dan perpaduan yang penting bagi umat Islam di seluruh dunia adalah manifestasi jelas kebencian, sikap tidak bertoleransi terhadap agama dan Islamofobia.

Tambahnya, meskipun kebebasan bersuara adalah hak asasi, namun adalah penting untuk menegakkannya berdasarkan sempadan hormat dan tanggungjawab.

“Kami melahirkan kebimbangan dan kemarahan yang mendalam terhadap keputusan berulang untuk membenarkan tindakan keji pada 28 Jun 2023 atas nama kebebasan bersuara, dan kami berdiri dalam solidariti dengan komuniti yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pada Rabu, seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden sehingga mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perbuatan biadab itu dilakukan dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Aidiladha.

Menurut laporan media, kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan Salwan Momika yang membakar kitab suci itu.

Tambah Mohd Na'im, kerajaan Sweden diseru untuk menghentikan kebenaran terhadap tindakan provokatif itu yang jelas merupakan jenayah kebencian dan bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

“Kami menyeru semua pihak untuk mengecam tindakan tidak bertoleransi agama ini, berdiri bersama menentang kebencian, dan menggalakkan persefahaman, rasa hormat dan keharmonian dalam kalangan semua ahli masyarakat kita yang pelbagai,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakar al-Quran: Malaysia kutuk keputusan pihak berkuasa Sweden

Arab Saudi kecam, kutuk tindakan bakar al-Quran di Sweden

'Bakar al-Quran perbuatan yang keji' - Turki kutuk tindakan Sweden

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!