Pemanis aspartame dalam Diet Coke bakal diisytihar penyebab kanser

Pemanis Aspartame yang sering digunakan dalam produk minuman seperti Diet Coke akan diisytiharkan sebagai karsinogenik. - Foto Reuters/Shannon Stapleton
Pemanis Aspartame yang sering digunakan dalam produk minuman seperti Diet Coke akan diisytiharkan sebagai karsinogenik. - Foto Reuters/Shannon Stapleton
A
A
A

LONDON - Aspartame iaitu pemanis yang sering digunakan dalam produk minuman terkenal seperti diet coke jenama Coca Cola akan diisytiharkan sebagai karsinogenik.

Ini juga bermakna bahan itu berbahaya buat kesihatan manusia yang mana boleh menyebabkan kanser, menurut sumber agensi kajian kanser di bawah seliaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, pemanis berkenaan sering digunakan dalam produk-produk makanan lain seperti gula-gula getah jenama Extra dan coklat Mars.

Dua sumber dalaman agensi WHO itu memberitahu bahawa pemanis itu akan dikategorikan sebagai karsinogenik oleh Badan Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) bermula bulan depan yang mana dijangka mencetuskan perdebatan dalam industri pemakanan serta pihak berkuasa.

Keputusan IARC itu dipercayai telah diputuskan pada awal bulan ini selepas mengadakan mesyuarat bersama pakar luaran kumpulan tersebut yang mana berperanan untuk menilai sama ada bahan itu berbahaya atau sebaliknya.

Sementara itu, sejak tahun 1981, (Jawatankuasa Pakar Bersama WHO dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian mengenai Bahan Tambahan Makanan) JECFA memberitahu aspartame adalah selamat untuk dikonsumsi dalam had harian yang diterima.

Sebagai contoh, seorang dewasa yang beratnya 60 kg (132 paun) perlu minum antara 12 hingga 36 tin minuman soda diet setiap hari, bergantung kepada jumlah aspartame dalam minuman tersebut untuk mendatangkan risiko.

Pandangan mereka telah dikongsi secara meluas oleh pihak pengawal selia negara, termasuk di Amerika Syarikat dan Eropah. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!