Lelaki mati atas bumbung rumah ibu
SEGAMAT - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di atas bumbung sebuah rumah di Kawasan Pekan Jabi, pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, lelaki berusia 60 tahun itu dipercayai meninggal dunia, ketika sedang cuba membaiki bumbung rumah berkenaan yang juga merupakan rumah ibunya.
“Hasil maklumat yang diterima, polis mengesahkan mengenai penemuan mayat berkenaan di atas bumbung sebuah rumah di Jalan Buloh Kasap, Kawasan Pekan Jabi, semalam (Khamis).
“Lelaki tersebut yang dipercayai sedang membaiki bumbung rumah ibunya itu, rebah secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat lelaki berkenaan kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS), bagi tujuan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Kenny Ismol Mohd Nor Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara berkenaan melalui talian terus ke balai pada 12.38 tengah hari pada Khamis.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dengan kekuatan enam anggota dari BBP Bandar Baru Segamat telah dihantar ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri berada di atas bumbung rumah.
“PKO kemudiannya bertindak menurunkan mangsa dengan menggunakan tangga dan stretcher. Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar 1.30 tengah hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!