Tragedi AstroWorld: Travis Scott terlepas pertuduhan jenayah

Travis Scott - Foto AFP
Travis Scott - Foto AFP
A
A
A

HOUSTON - Jemaah juri di Texas pada Khamis memutuskan untuk tidak mendakwa penyanyi rap Travis Scott dan lima yang lain berhubung rempuhan yang berlaku di festival muzik Astroworld 2021 yang mengorbankan 10 orang, lapor Xinhua.

Peguam Daerah Kim Ogg berkata, jemaah juri, Harris County telah menimbang pertuduhan jenayah terhadap Scott serta yang lain dan tidak menemui unsur jenayah selain tiada individu yang bertanggungjawab secara jenayah.

Peguam Scott, Kent Schaffer berkata, anak guamnya menghentikan konsert tiga kali dan tidak menyedari tragedi berlaku ketika itu.

"Keputusan hari ini oleh peguam daerah Harris County mengesahkan apa yang kami ketahui selama ini - bahawa Travis Scott tidak bertanggungjawab atas tragedi AstroWorld," kata Schaffer dalam satu kenyataan.

"Sekarang kes ini sudah ditutup dan kami berharap kerajaan memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting - menghentikan tragedi masa depan seperti Astroworld daripada berulang."

Lima yang lain, termasuk Brent Silberstein, pengurus festival penganjur konsert Live Nation, turut bebas daripada pertuduhan.

Sepuluh orang, berumur antara sembilan dan 27 tahun, meninggal dunia akibat sesak nafas apabila kira-kira 50,000 penonton berasak-asak ke arah pentas semasa konsert di NRG Park Houston pada November 2021.

Sekurang-kurangnya 4,900 penonton cedera. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!