Remaja maut dipanah petir ketika jaring ketam
ISKANDAR PUTERI - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas dipercayai dipanah petir ketika menjaring ketam bersama bapanya dengan menaiki bot di kawasan berhampiran Pulau Merambong di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya yang berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hujan lebat ketika kejadian dan hanya mangsa berdua bersama bapanya di dalam bot berenjin 15 kuasa kuda. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mendapatkan pelampung untuk menarik jaring menangkap ketam yang dipasang pada hari sebelumnya.
"Bapa mangsa tercampak ke hujung bot berdekatan enjin dan masih mampu menyelamatkan anaknya dengan menarik tangan mangsa sebelum dibantu oleh nelayan berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Rahmat, remaja yang berasal dari Kampung Ladang di Gelang Patah itu tidak bersekolah dan bekerja sebagai nelayan bersama bapanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!