[VIDEO] Sesat cari kedai makan, warga emas pandu lawan arus

Tangkap layar video kamera papan pemuka yang memaparkan tindakan pemandu warga emas melawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga KM126.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pada Rabu.
Tangkap layar video kamera papan pemuka yang memaparkan tindakan pemandu warga emas melawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga KM126.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pada Rabu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki warga emas yang dikatakan menghadapi masalah lupa ingatan dikesan memandu melawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga Kilometer (KM) 126.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7.43 pagi sebelum petugas Peronda Lebuh Raya Zon Utara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjejaki kenderaan terbabit.

Menurutnya, pemandu berusia 84 tahun itu berjaya ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memandu dari rumahnya di Sungai Petani dan mahu ke kedai makan berhampiran dengan tempat tinggalnya.

"Bagaimanapun, pemandu tersebut telah tersesat jalan dan masuk ke lebuh raya serta tidak menjumpai laluan keluar untuk membuat pusingan U di plaza tol berhampiran dan tekad memandu secara lawan arus," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil temu bual dengan ahli keluarga pemandu berkenaan, warga emas itu menunjukkan petanda lupa ingatan sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, pemeriksaan juga mendapati lesen memandu lelaki berkenaan telah tamat tempoh.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!