9 ahli keluarga ditembak mati kerana perselisihan perkahwinan
ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya sembilan ahli keluarga terbunuh dalam serangan bersenjata di barat laut Pakistan, kata seorang pegawai.
Penyerang menyerbu masuk ke dalam rumah mangsa pada tengah malam dan membunuh tiga wanita dan enam lelaki di bandar Batkhela di daerah Malakand wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menurut Agensi Anadolu.
"Kami telah menahan suspek pembunuh, yang merupakan menantu kepada keluarga yang terbunuh," Rab Nawaz, seorang pegawai pentadbiran tempatan, memberitahu Anadolu melalui telefon.
"Isteri suspek bertengkar dengannya dan dia pulang ke rumah bapanya dan tinggal di sana,” katanya.
Pada malam Rabu, menantu lelaki itu bersama dua yang lain datang dan memasuki rumah bapa mentuanya dan membunuh sembilan orang termasuk isterinya, ketika mereka sedang tidur.
Hanya tiga kanak-kanak terselamat dalam serangan itu.
Pakistan sedang meraikan hari raya Aidiladha, dan ekoran tragedi itu, penduduk di kawasan itu kini berkabung.
"Ia adalah satu kejadian yang tragis dan seluruh bandar terkejut dengan pembunuhan kejam keluarga ini," menurut Abdul Hakim, seorang penduduk tempatan.
Hakim berkata, penduduk tempatan turut mengadakan protes menuntut hukuman berat terhadap pesalah. - Bernama-Anadolu Agency
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!