FAM atur langkah Harimau Malaya

HAMIDIN
HAMIDIN
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia merencana cara terbaik dalam usaha memastikan Harimau Malaya mencapai sasaran berada di tangga ke-120 dunia menjelang hujung tahun ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai sekiranya kemenangan terus memihak skuad kendalian Kim Pan-gon.

Menurut Hamidin, beliau bersama-sama Pan-gon dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell harus bijak dalam percaturan menentukan pasukan yang akan bermain menentang skuad Harimau Malaya demi mempertahankan ranking.

“Jadi kalau proses ini berjalan sampai November dan kejayaan banyak memihak Malaysia, kita mungkin naik ke tangga 120 lebih, itu memang keinginan kita tetapi kita perlu bekerja keras dan yang penting kita perlu mempertahankan ranking FIFA ini.

“Kita tidak boleh kalah berterusan. Kalau kita lihat bermula hujung tahun 1995 hingga 2010 satu keadaan yang tidak bagus iaitu kita jatuh merudum,” katanya selepas kejayaan Harimau Malaya menduduki tangga ke-138 dunia sebelum ini.

Terdahulu, Malaysia terus memperbaiki ranking dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila naik satu lagi anak tangga ke kedudukan 137 dunia hasil dua kemenangan dalam aksi persahabatan di Terengganu baru-baru ini.

Ranking Malaysia dijangka terus meningkat naik jika anak-anak buah Pan-gon mampu mencatat keputusan positif dalam dua lagi aksi persahabatan pada September ini selain pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadual bermula pada November nanti.

Mengikut perancangan FAM, Harimau Malaya dijadual menghadapi dua aksi persahabatan September ini dengan China yang sudah disahkan sebagai lawan, manakala satu lagi pasukan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Pada Oktober pula, Harimau Malaya akan menyertai Pestabola Merdeka di halaman sendiri dengan tiga pasukan sudah mengesahkan penyertaan iaitu Palestin, Lubnan dan India.

Kesemua pasukan lawan itu berada pada ranking lebih tinggi dan jika mampu mencatat keputusan positif, sudah tentu ranking Malaysia akan terus meningkat naik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!