'Mulakan dari tabika, 20 tahun lagi negara bebas rasuah'

Foto hiasan. Gambar kecil: Nor Halmey
Foto hiasan. Gambar kecil: Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Membanteras rasuah ini hanya boleh diatasi dengan memulakannya menerusi sistem pendidikan integriti dan rasuah dan ia perlu bermula daripada peringkat tabika.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, tiada jalan pintas dalam hal ini kerana jiwa generasi baharu haruslah dipupuk dan disemai mengenai bahayanya musuh negara ini.

Jelasnya, pendidikan rendah dan menengah seterusnya di peringkat universiti perlu ada penerapan subjek khas atau isu khas mengenai integriti dan rasuah sesuai dengan peringkat usia mereka.

“Lebih kurang 20 tahun lagi, Malaysia insya-ALLAH, akan mula bebas rasuah dengan generasi baru mengambil alih sistem pengurusan dan pentadbiran organisasi,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) teruslah menjalankan tugasan mencegah dan mendakwa mereka yang terlibat.

“Membanteras rasuah sememangnya tiada jalan pintas, pasakkan generasi baru Malaysia seawal mungkin dengan penerapan nilai yang baik bagi mengisi jasmani, emosi, rohani dan sosial mereka dengan pengisian yang benar-benar terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, jelas sekali virus rasuah membawa malapetaka kepada negara, justeru penerapan nilai integriti seawal mungkin dilihat sebagai pemangkin ke arah melahirkan Malaysia yang lebih baik.

“Punca utama ekonomi negara kita merudum teruk adalah kerana faktor rasuah. Sedar atau tidak sedar sememangnya rasuah dan ketirisan integriti sangat membarah di dalam sistem pengurusan pentadbiran dalam mana-mana jua bidang.

“Kelemahan integriti akan menyebabkan pelaku rasuah langsung tidak merasa bersalah sama ada mereka tidak tahu atau mereka merasakan perbuatan mereka itu adalah perbuatan biasa yang tidak memberikan kesan buruk kepada negara...Maka hanya pendidikan yang mampu mengubah generasi yang mampan untuk melawan rasuah,” katanya.

Tambahnya lagi, barah rasuah di dalam masyarakat sudah menjadi sangat busuk sekarang ibarat sepohon pokok yang sangat tua merimbun.

“Tiada gunanya kita hanya memotong pucuk sedangkan dahannya sentiasa mengeluarkan beribu pucuk yang lahir daripada induk yang rosak.

“Kita perlu menebang semua induknya supaya masalah ini terhenti,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!