Isteri lemas, suami dan anak saudara hilang jatuh bot
KOTA BHARU - Seorang wanita lemas selepas terjatuh daripada bot yang dikatakan terhenti secara tiba-tiba dalam kejadian di Sungai Kampung Kutan Hulu pada Jumaat.
Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suami dan anak saudara mereka yang turut bersama masih hilang.
Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mangsa lemas dikenali sebagai Nor Awadah Sulong, 30.
"Suami mangsa dikenali sebagai Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta anak saudaranya, Amrullah Fitri Afendi, 10.
"Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu, Wan Nur Ameena Wan Muhamad yang turut bersama selamat kerana dikatakan berpegang pada stereng bot," katanya.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa dikatakan bersiar-siar di sungai itu dengan menaiki bot Wan Muhamad Najmi sebelum enjin bot mati secara tiba-tiba dan mereka terjatuh ke dalam sungai.
Tambah beliau, mangsa sudah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi, berkata, operasi selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan disambung semula pagi Sabtu.
Katanya, operasi malam ini diteruskan dengan kerja-kerja menyelamat di kawasan permukaan sungai.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut hadir di lokasi itu untuk bertanya khabar dan menyantuni keluarga mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!