Polis cari ibu tunggal dipercayai dera tiga anak

No Image Caption
A
A
A
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Polis sedang berusaha mengesan seorang ibu tunggal yang dipercayai mendera tiga anak kandungnya di rumah transit Uda, Tanjung Tokong di sini baru-baru ini.

Selain dipukul, ketiga-tiga beradik yang masing-masing berumur 2 tahun, 7 tahun dan 11 tahun yang tinggal bersama ibu mereka berusia 42 tahun itu juga tidak dihantar bersekolah sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 April lepas oleh ibu kepada wanita itu, selepas cucu-cucunya melarikan diri dan pergi ke rumahnya.

"Nenek yang berumur 62 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian apabila tiga cucunya yang tinggal bersebelahan rumah melarikan diri ke rumahnya selepas dipukul teruk oleh ibu mereka.

"Ibu mereka memukul anak perempuan sulungnya dengan besi di lengan kiri dan kaki kiri sehingga lebam, manakala anak lelaki keduanya pula ditendang pada kemaluan,” katanya di sini hari ini.

Che Zaimani berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan itu turut mengugut mahu membunuh anak-anak menggunakan pisau.

"Wanita itu sudah bercerai dengan suaminya sejak tahun lepas dan sejak laporan polis dibuat dia itu terus menghilangkan diri, dipercayai melarikan diri ke Kedah.

"Kedua-dua anak perempuan serta seorang anak lelaki wanita itu yang berada dalam keadaan trauma kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan usaha mengesan wanita itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Sekyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!