Realisasikan impian Umar 'berguru' di AS

Umar memasang impian berkelana ke AS selepas kejayaannya meraih emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Umar memasang impian berkelana ke AS selepas kejayaannya meraih emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) diharap dapat mempertimbangkan impian pelari muda negara, Umar Osman untuk 'berguru' ke Amerika Syarikat (AS) mengikut jejak jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi yang berkelana ke negara Uncle Sam itu sejak Januari lalu.

Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, Umar yang juga pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) perlu diberi pendedahan di Eropah atau AS menerusi latihan atau menyambung pelajaran.

Beliau berkata, pendedahan tersebut bagi membolehkan Umar meraih pengalaman berguna dan teknik larian terbaik selain menyertai lebih banyak kejohanan yang kompetitif di luar negara.

“Umar sudah buktikan kejayaan dan kebolehannya memecah rekod kebangsaan 400m. Sewajarnya dia diberi bantuan dan perhatian untuk mengembangkan lagi kerjaya dan pelajarannya ke luar negara.

“Sebaik-baiknya biarlah dia berguru di Eropah atau AS. Mungkin latihan selama enam bulan atau terus sambung pelajaran di sana,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

NAZMIZAN
NAZMIZAN

Umar mula menjadi tumpuan selepas berjaya memenangi pingat emas 400m lelaki pada Sukan SEA 2022 2023 di Kemboja selain berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan masa 46.34 saat (s).

Sebelum ini, pelari berusia 20 tahun itu telah meluahkan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke AS jika memperoleh peluang dan tawaran terbaik dari negara berkenaan.

Nazmizan berkata, pihak berkaitan termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) perlu membantu Umar untuk membuat perancangan jangka panjang meningkatkan lagi prestasinya agar boleh bersaing ke peringkat lebih tinggi termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Kita tak boleh tunggu lagi. Umar sudah berada pada tahap lain selepas kejayaan di Kemboja. Saya tidak pasti dia terpilih atau tidak ke Sukan Asia di China September nanti, tapi kita tidak boleh buang masa.

“Sediakan rangka kerja dan perancangan teliti buat Umar supaya dia tidak tercicir daripada sebarang bentuk bantuan bagi meningkatkan lagi kualiti dan teknik lariannya,” ujarnya.

Nazmizam yang pernah menjalani latihan di bawah kendalian legenda pecut dunia, Michael Johnson di Universiti Baylor, Texas pada 2004 berkata, latihan di AS termasuk di Universiti Baylor, Texas amat berkualiti dan ia mampu memberi pengajaran berguna buat Umar.

“Kita pernah ada hubungan dengan universiti itu dan ia mungkin boleh diperkukuhkan semula. Kejohanan di sana amat kompetitif. Ketika di sana sebulan empat kali saya menyertai kejohanan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!