United masih mahu khidmat De Gea
MANCHESTER United masih melakukan perbincangan dengan penjaga gol David De Gea walaupun kontrak pemain itu telah tamat pada Sabtu.
De Gea, yang menyertai United pada 2011 ketika Alex Ferguson menjadi pengurus, merupakan pemain skuad semasa yang paling lama berkhidmat dengan membuat hampir 550 penampilan untuk kelab itu.
"Kontrak David De Gea akan tamat tetapi perbincangan tetap terbuka dengan penjaga gol yang sudah lama berkhidmat," kata United dalam satu kenyataan.
De Gea memenangi Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris buat kali kedua musim lalu.
Namun, dia sering dikritik kerana beberapa kesilapam mudah dan merugikan pasukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Penjaga gol berusia 32 tahun itu merupakan antara pemain dengan bayaran tertinggi di kelab itu menurut media British tetapi tidak pernah beraksi untuk Sepanyol sejak 2020.
BBC melaporkan bahawa De Gea akan berkahwin hujung minggu ini dan sebarang perjanjian baharu tidak akan ditandatangani sehingga dia meneruskan perbincangan secara bersemuka di United.
United juga telah dikaitkan dengan perpindahan untuk mendapatkan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!