Misbun mahu beri peluang seimbang kepada anak buah

Misbun. Foto Agensi.
Misbun. Foto Agensi.
A
A
A
PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Remaja Datuk Misbun Sidek akan cuba memberi peluang lebih seimbang kepada anak buahnya dalam acara berpasukan pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia dari 7-16 Julai ini.

Misbun berkata, prestasi hambar pemain muda negara pada Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, Oktober lepas memberi pengalaman berguna kepadanya lebih-lebih lagi dalam aspek kebergantungan kepada pemain tertentu.

"Sewaktu Kejohanan Remaja Dunia kebanyakan pemain bagi acara berpasukan tak main acara individu, tapi kita pula gunakan Justin Hoh (perseorangan lelaki) untuk bermain kerana kita lawan negara yang lebih kuat dan main banyak pusingan. Jadi sewaktu masuk individu, ada pemain yang tak main acara berpasukan (telah) main individu dan kita terperangkap di situ.

"Kali ini kita siapkan pemain supaya mereka lebih bersedia, selain mahu seimbangkan lapisan pemain perseorangan agar mereka boleh bertukar ganti untuk mana-mana pertarungan (acara berpasukan),” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Daripada keseluruhan enam perlawanan acara berpasukan termasuk tiga aksi kumpulan di Kejohanan Remaja Dunia, Misbun menurunkan Justin sebanyak lima kali, manakala pemain perseorangan wanita Siti Nurshuhaini Azman pula bermain empat kali.

Malaysia yang gagal ke suku akhir di Sepanyol selepas hanya meraih naib juara Kumpulan A di belakang musuh tradisi Indonesia, menamatkan acara berpasukan di tangga kesembilan menumpaskan Denmark, 4-1.

Lebih menyedihkan apabila buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan yang layak ke suku akhir bagi saingan individu pada kejohanan tersebut.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Malaysia pulang dengan tangan kosong selepas edisi 2019 di Kazan, Rusia.

Walaupun pemain dilihat sudah bersiap sedia menggalas tugas membawa cabaran negara di Indonesia, Misbun berharap skuad negara tidak memandang ringan cabaran dalam Kumpulan C terdiri daripada India, Bangladesh dan Hong Kong.

Legenda badminton negara itu yang berharap skuad kebangsaan mampu ke suku akhir, mengakui pihaknya tidak dapat membaca corak permainan pemain lain memandangkan kurangnya pertandingan di peringkat remaja.

Bekas jurulatih perseorangan negara berusia 63 tahun itu juga berharap pemain perseorangan lelaki, Eogene Ewe dan wakil perseorangan wanita, Siti Zulaikha Azmi dapat menyerlah bagi saingan individu dalam kejohanan itu.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara berpasukan di kejohanan tersebut ialah pada 2009 ketika menjadi tuan rumah, manakala pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao muncul wakil terakhir menjuarai acara individu pada edisi 2017 di Jakarta, Indonesia. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!