RM22 juta untuk Ipoh, Kinta Heights bakal terima lif baharu
IPOH - Rumah pangsa tertinggi di Ipoh, Kinta Heights yang berusia lebih 40 tahun bakal menerima kemudahan lif baharu menerusi peruntukan RM930,000 diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerja-kerja pemasangan lif itu akan dimulakan hujung Ogos depan dan dijangka siap pada Disember ini bagi memberi suasana yang lebih kondusif kepada penduduk.
"Perumahan ini dibina sekitar tahun 1980-an lagi dan memang sudah sampai masanya untuk kita naik taraf. Saya dimaklumkan, kali terakhir perumahan itu menerima penyelenggaraan sekitar 23 tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ipoh pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Kor Ming berkata, inisiatif itu adalah selari dengan usaha KPKT yang menyasarkan sebanyak 500 lif dapat ditukar di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
"Sekiranya lima tahun ini KPKT dapat sempurnakan kerja tukar lif ini, sekurang-kurangnya 750,000 penduduk akan mendapat manfaat hanya daripada inisiatif ini sahaja," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu turut mengumumkan beberapa peruntukan tambahan bagi projek penyelenggaraan dan naik taraf di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membabitkan RM22 juta.
Katanya, sebanyak RM4.25 juta diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk naik taraf perumahan Flat Seri Kepayang dan RM2 juta untuk Rumah Pangsa Bercham.
"Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembentungan di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Balai Polis Sungai Senam bagi mengatasi masalah banjir kilat.
"Sebanyak RM13.38 juta pula diluluskan bagi pembinaan kompleks tempat letak kenderaan yang menyediakan 370 parkir baharu bagi mengatasi masalah kekurangan parkir di pekan lama Ipoh," katanya.
Beliau berkata, peruntukan besar yang diluluskan itu adalah bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu rakyat dalam tempoh segera.
"Dua minggu lalu, semasa lawatan saya ke sini, RM3.46 juta diluluskan bagi enam projek naik taraf kemudahan awam di kawasan Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur.
"Sekarang tak sampai dua minggu, saya turun padang sekali lagi untuk menyampaikan berita baik ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!