Siasat dalang sebar video, berita tidak benar - King Sing
KUALA LUMPUR - Satu siasatan terperinci perlu dilakukan berhubung penyebaran video kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menyalahguna kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
King Sing menerusi video berdurasi 4 minit 29 saat yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Jumaat menjelaskan, akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang penyebaran video berkenaan.
Beliau turut mendakwa, penyebaran video itu adalah tindakan sengaja untuk menutup kesalahan serta aktiviti rasuah yang berlaku di balai ketibaan berkenaan.
"Kenapa orang imigresen takut sangat orang tular gambarnya. Punca tular ini saya boleh sahkan 100 peratus daripada Imigresen sendiri kerana saya berada dalam pejabat imigresen," katanya.
Beliau berkata, dalang yang mengambil dan menyebarkan video berkenaan perlu disiasat dengan segera kerana menyebarkan berita yang tidak benar.
"Saya mahu satu siasatan lengkap. Periksa gambar viral itu daripada telefon siapa dan saya minta SKMM melakukannya serta pegawai ini disiasat.
"Kenapa dia melakukannya, kenapa buat berita tidak tepat, buat tuduhan fitnah. Adakah mahu selamatkan segelintir pegawainya," tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian, wanita warga China yang ditahan mengakui ada pegawai berpangkat yang meminta bayaran untuk dibebaskan.
“Ada pegawai minta wang RM3,000 dan bayar proses visa sebanyak RM12,000, ini bukan undang-undang daripada Kerajaan Perpaduan.
“Saya juga difahamkan kalau mereka bayar tol ini, mereka boleh melalui lorong khas dan ini masalah yang timbul,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pihaknya memohon jasa baik Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyiasat perkara berkenaan.
“Saya juga mahu semua pihak berganding bahu mempertahan imej dalam memajukan ekonomi negara,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA
Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony
Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs
Imigresen siasat dakwaan insiden kekecohan libat menteri
Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA
MyBHA, MATA sokong tindakan King Sing dengar keluhan pelancong
'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!