'Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau' - Shuib
[DIKEMAS KINI] PELAWAK dan pengacara, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 39, membidas kenyataan seorang individu di platform Facebook yang menuduh dirinya sebagai seorang ahli sebuah organisasi yang bermula dengan huruf F.
Memetik laporan portal Gempak, Shuib berkata, dia melihat perkara tersebut sebagai satu tuduhan dan fitnah yang melampau apabila turut melibatkan arwah isterinya, penyanyi Siti Sarah.
“Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau dan ekstreme kerana melibatkan arwah isteri saya.
“Rasanya tak perlu saya memberi komen yang panjang. Tunggu sahaja kenyataan dari pihak legal saya,” katanya kepada Gempak.
Terdahulu, seorang individu menuduh Shuib sebagai salah seorang ahli organisasi yang bermula dengan huruf F, gara-gara gambar Shuib dan Watie yang dikongsikan oleh semua akaun Facebook.
Menurusi gambar tersebut, Watie menutup mata kiri Shuib manakala Watie sendiri menutup mata kanannya.
Individu terbabit juga menulis tuduhan berbaur negatif terhadap Siti Sarah.
Shuib sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, dengan hanya sekali lafaz dalam majlis ijab kabul yang berlangsung di Putra Glass Hall, Shah Alam sekitar jam 8.47 malam 23 Jun lalu.
Pasangan berkenaan dinikahkan abang pengantin perempuan, Qadhaffi Hanifiah di hadapan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong, Selangor, Ustaz Zubairi.
Shuib menyerahkan mas kahwin sebanyak RM8,288 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh. Namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Usahawan itu turut ditemani empat cahaya matanya iaitu Uwais Alqarni; 12, Dzahira Talita Zahra; 10, Ariq Matin; 8, dan Ayash Affan berusia dua tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!