Media, persatuan penduduk lapah 10 ekor lembu
IPOH - Persatuan penduduk dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat menerima agihan 17 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha.
Lebih istimewa lagi beberapa pengamal media turut bersama-sama penduduk menguruskan daging korban dalam program Korban Perdana Persatuan Penduduk Taman Lapangan Jaya Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, di Taman Lapangan Jaya di sini pada Sabtu.
Pada program itu, sebanyak 10 lembu dikorbankan yang dikendalikan sepenuhnya oleh ahli persatuan penduduk.
ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemberian kepada persatuan-persatuan penduduk dan surau terpilih itu membolehkan lebih ramai asnaf serta golongan kurang berkemampuan mendapat agihan korban.
"Masjid-masjid di dalam DUN Sungai Rapat ini kebanyakan haiwan sembelihan melebihi lapan ekor. Jadi kita berikan sumbangan lembu korban ini kepada surau-surau dan taman-taman perumahan di DUN ini.
"Kita juga berbesar hati menyumbang kepada rakan-rakan media di Perak ini yang buat pertama kalinya kita buat," katanya ketika ditemui sempena program tersebut sambil memberitahu keutamaan diberikan kepada tempat kurang haiwan sembelihan korban serta persatuan-persatuan penduduk yang aktif.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak, Syed Mohd Hesham Syed Idris dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lapangan Jaya, Rahim Omar.
Mohammad Nizar yang juga Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak turut merakam penghargaan kepada petugas-petugas yang bertungkus lumus memastikan program berjalan lancar dan menjangka agihan seperti itu diteruskan lagi pada masa akan datang.
Menurutnya, penglibatan persatuan-persatuan penduduk dalam program sedemikian secara tidak langsung merapatkan hubungan dalam komuniti setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!