PH, BN kerap jadi mangsa fitnah

Mohamad Agus Yusof
Mohamad Agus Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) antara dua gabungan parti politik yang kerap menjadi mangsa fitnah,

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof berkata, fitnah itu dibuat bertujuan untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Katanya, dengan pengguna internet di negara ini kira-kira 20 juta orang iaitu 62 peratus menggunakan media sosial menunjukkan isu yang tersebar merebak kepada hampir 200,000 orang dalam masa satu jam.

“Parti yang kerap difitnah ialah PH-BN dengan tujuan menakutkan rakyat supaya tidak menyokong kerajaan perpaduan yang dibentuk pada 24 November 2022.

“Bayangkan dengan kecepatan ini, impaknya terhadap keselamatan negara, keharmonian masyarakat dan negara,” katanya menerusi akaun Facebook pada Sabtu.

Beliau turut contoh, DAP difitnah atas dakwaan parti itu mengancam kedudukan Melayu-Islam, hendak menukar Malaysia menjadi republik, menghapuskan raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama rasmi.

Parti itu juga difitnah kononnya melarang laungan kuat azan, menghentikan tilawah al-Quran, membenarkan anak hak mutlak memilih agama selepas 18 tahun, memansuhkan subjek agama Islam di sekolah, membubarkan Mara, mahkamah syariah dan rejimen askar Melayu Diraja, menyokong komunis dan LGBT.

“Pada 10 Februari 2023, Pesuruhjaya Pas Perak memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduh beliau membawa agenda songsang LGBT dan menyokong agenda komunis.

“Pada 25 Jun 2023, akhbar Harakah Daily memohon maaf kerana mendakwa Razali, penasihat khas Lim Guan Eng, kemudian pada hari ketiga Zulhijjah, mereka memohon maaf kerana mendakwa perdana menteri melantik wanita DAP sebagai Pengerusi Felda.

“Pada 25 Jun 2023, Perdana Menteri bergurau meminta nombor telefon dengan pelajar Tingkatan Enam yang bertanyakan soalan mengenai ekonomi pun turut difitnah sedangkan beliau hanya bergurau di depan ribuan hadirin bukannya WhatApps senyap-senyap sambil menghantar foto lucah tetapi kerana tiada isu, gurauan pun PM dijadikan isu,” katanya.

Kata Dr Mohamad Agus lagi, jika hendak disenaraikan, fitnah Pas paling banyak, antaranya, 25 Januari 2017, Hasan Ali lawan Khalid Samad RM200,000; 10 November 2017, PJ Pas Perak lawan DS Nizar RM200,000; 31 Januari 2019, Abdul Hadi Awang lawan Sarawak Report RM1.4 juta; 28 Februari 2020; dan KP Pas Selangor lawan Teresa Kok RM80,000.

Ujar beliau, pada 9 Julai 2020, KP Pas Pulau Pinang lawan Eric Paulsen RM100,000; 10 Februari 2021, Masri Che Yusoff lawan Husam Musa RM155,000; 30 Ogos 2022, AJK Dewan Ulama lawan KP Amanah Kelantan RM10,000 dan 3 April 2023, Menteri Besar Kedah lawan Mahfuz Omar RM120,000.

Sepatutnya, kata beliau, sebagai sebuah parti Islam, Pas membawa akhlak yang baik bukan membuat persepsi dan tanggapan tanpa bukti.

“Tidak setuju, kritiklah. Jangan berkempen berunsur fitnah, perkauman, penghinaan dan unsur yang bercanggah dengan nilai Islam.

“Berkempenlah untuk memajukan negara, menaikkan ekonomi dan mata wang yang jatuh teruk, bagaimana hendak menarik pelabur asing dan menurunkan harga barang. Itu lebih baik kerana menyentuh kepentingan semua rakyat.

“Lagi pun, kerja ulama adalah menyeru orang supaya beriman, jauh dari mungkar, buat kebaikan. Tunjukkan contoh kepada bangsa lain dengan akhlak yang baik supaya Islam dipuji dan dihormati,” katanya.

Beliau berkata, demi generasi masa depan, fokus kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik dengan menghentikan politik fitnah kerana ia budaya politik kotor dan keji.

Dr Mohamad Agus turut menunjukkan cara atau tauladan yang baik seseorang ulama ialah menjadi masyarakat Madani dengan mengangkat wacana, idea, polisi dan dasar, bukan serangan peribadi dan pembunuhan karakter.

“Jika hendak maju, kita perlu ada semangat perpaduan, kesatuan dan kerjasama bukan sahaja sesama umat Islam bahkan antara rakyat berlainan kaum dan agama.

“Pesanan saya kepada anak-anak muda, tolaklah pemfitnah politik. Jangan biarkan diri ditunggang oleh mereka,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!