Lelaki maut tersepit, kereta terbabas ke ladang sawit
KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM) 70.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Tinggi menerima laporan kemalangan maut itu daripada pihak penguatkuasaan trafik daerah Kota Tinggi pada jam 1.35 petang.
"Kemalangan ini melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri.
"Dalam kemalangan ini, pemandu kereta jenis Proton Satria berwarna biru yang berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke Johor Bahru bersama dua rakan sebaya.
"Ketika melalui tempat kejadian, pemandu kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan menuju ke arah Kota Tinggi dan masuk ke ladang sawit berhampiran.
"Pemandu kereta tersebut telah tersepit di kedudukan pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua penumpang mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya dan menyebabkan kematian.
Sementara itu menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid, satu jentera FRT, satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi serta lima anggota bomba telah dihantar ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan sekitar 1.23 petang.
"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans KKM dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang, Sabtu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!