PRN: DUN Suka Menanti jadi rebutan PKR, UMNO?

Zamri (kiri) dan Ahmad Bashah (kanan).
Zamri (kiri) dan Ahmad Bashah (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Rundingan kerusi DUN tersebut ‘tergendala’ susulan masing-masing ingin meletakkan calon bertanding di kerusi bawah Parlimen Alor Setar itu.

Spekulasi kerusi DUN Suka Menanti menjadi rebutan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO semakin hangat diperkatakan apabila kesemua kerusi DUN di 14 parlimen lain telah selesai.

“Tiga DUN bawah Parlimen Alor Setar disandang wakil rakyat PH. Namun BN juga mahu meletakkan seorang calon di parlimen tersebut yang memiliki tiga DUN iaitu Kota Darul Aman, Alor Mengkudu dan Suka Menanti.

“Agak mustahil untuk korbankan DUN Kota Darul Aman kerana ia kuota DAP. Sudah tentu UMNO mahukan kerusi Suka Menanti yang dilihat mempunyai rekod lebih baik berbanding di Alor Mengkudu di mana UMNO kalah beberapa penggal,” kata sumber.

Menurut sumber lagi, UMNO lebih berminat untuk meletakkan calon di Suka Menanti, namun penyandangnya bukan calang-calang orang, Datuk Zamri Yusuf yang merupakan ‘otai’ PKR dan bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah.

“Pertembungan ini menyukarkan kedua-dua parti, PKR mungkin mahu mengekalkan Zamri atas rekod cemerlang beliau, sementara UMNO mungkin mahu meletakkan calon berbisa seperti Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang pernah menjadi ADUN Bakar Bata (sebelum diubah kepada Suka Menanti), atau pertaruhkan muka baharu,” jelas sumber itu lagi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi ketika dihubungi enggan mendedahkan kerusi tunggal yang masih belum dimuktamadkan, namun mengesahkan hanya satu kerusi masih dalam rundingan.

“Hanya satu kerusi belum dimuktamadkan, kerusi tersebut kini dirunding di peringkat tertinggi pemimpin PH dan BN. Keputusan kelak akan diumumkan dan semua parti perlu terima apa yang diputuskan di peringkat pusat,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil memaklumkan rundingan antara PH dan BN bagi memuktamadkan pertindihan sembilan kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRN di enam negeri, akan diselesaikan oleh Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.

Phahrolrazi
Phahrolrazi

Dalam pada itu, Phahrolrazi berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi DUN, selain Parti Amanah Negara (Amanah) sebanyak lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

“Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN.

“Ketika itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” ujarnya.

Menurutnya, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

“Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Alor Mengkudu yang dimenangi dalam PRU14 lalu, Phahrolrazi berkata, terserah kepada parti (PKR) untuk mencalonkannya semula atau sebaliknya memandangkan ia kuota Amanah.

“Saya tak berkecil hati (jika tak tersenarai sebagai calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu disandang Phahrolrazi yang berhijrah daripada Amanah kepada PKR, akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!