Kebakaran pusat industri: LUAS pantau kualiti air Sungai Langat
SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) masih melakukan pemantauan dan pensampelan pada kekerapan setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat susulan insiden kebakaran melibatkan beberapa kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang, awal pagi Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dalam kenyataan berkata, pemantauan statik turut dilaksanakan di jambatan Teras Jernang.
Beliau berkata, sehingga kini, LUAS masih meneruskan kawalan dan pemantauan di lokasi kebakaran bagi memastikan aliran sisa dikawal sepenuhnya.
Loy Sian berkata, pensampelan LUAS di Sungai Langat pada Jumaat, telah mengesan bau sebanyak dua ton dan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah dimaklumkan segera.
Susulan itu, menurut Loy Sian, penyaluran air mentah ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras terpaksa ditutup sementara selama tiga jam bermula 3 petang Jumaat untuk pencegahan impak yang lebih teruk kepada operasi loji.
"Hasil daripada usaha pencegahan segera ini, penyaluran air mentah ke LRA berkenaan dengan kapasiti 27 juta liter sehari (JLH) dan kemampuan bekalan kepada anggaran 8,779 akaun di sekitar 30 kawasan di Cheras dan Balakong dapat beroperasi semula pada 6 petang setelah bacaan bau 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut,” katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan tujuh kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua lagi rosak teruk akibat kebakaran di kawasan perindustrian terbabit yang berlaku kira-kira 2 pagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!