Sastera dan makna pengorbanan

Para pengkaji dan pembaca wajar jadikan hasil karya sastera yang mengungguli anugerah, sayembara dan peraduan sebagai rujukan. - Foto Bernama
Para pengkaji dan pembaca wajar jadikan hasil karya sastera yang mengungguli anugerah, sayembara dan peraduan sebagai rujukan. - Foto Bernama
A
A
A

SEJAUH mana sastera dapat membawa makna dalam kehidupan manusia? Sejauh mana sastera dapat membangun jiwa manusia yang lara?

Sejauh mana sastera dapat mengasuh nurani yang diasak dengan perkakasan teknologi lagha?

Pengkaji, dan pembaca sewajarnya memahami proses memilih bahan bacaan sastera bukan sekadar untuk melunaskan impian, dan memenuhi tertentu agenda.

Membaca karya sastera bukan sekadar hiburan dan mengisi masa terluang sahaja. Sastera memiliki aura yang tersendiri untuk suluhan dan tuntunan jiwa.

Peneliti dan pengkaji sastera bukan menulis kerana memenuhi tuntutan di kampus semata-mata. Golongan ini mempunyai tanggungjawab, dan amanah yang sangat besar di pundaknya.

Justeru, kajian dan penulisan sastera tidak sepatutnya dilakukan secara sambil lewa. Ada mahasiswa tanpa rasa bersalah mencuplik kajian sastera orang lain untuk menyempurnakan tugasan yang diarahkan pensyarahnya.

Ada mahasiswa menyalin bulat-bulat tulisan ilmiah dalam jurnal berwasit untuk mendapat markah tertinggi semasa menyudahkan pengajiannya.

Budaya malas berfikir, dan malas membaca merupakan tragedi hitam untuk mahasiswa pengajian sastera. Mengapa terjadinya demikian rupa?

Dunia sastera kini tidak diberikan ruang yang selayaknya. Hasil karya sastera kini tidak diberikan makna sebaik-baiknya.

Di kampus, pengkaji sastera perlu menembusi jurnal bertaraf Scopus, ESCI dan WOS yang rata-ratanya dibayar dengan harga yang tinggi, dan kekadang tidak masuk akal demi memenuhi tuntutan kerjaya.

Walaupun kelihatan tulisan dan kajian yang dilakukan secara lewah, klise dan kurang bermutu namun diterbitkan juga.

Dengan harga yang mencecah ribuan ringgit untuk satu artikel, pengkaji sastera terpaksa melunasinya kerana memerlukan “h-index” sebagai syarat kenaikan pangkat, dan keperluan lainnya.

Artikel pelajar siswazah dikerah untuk diterbitkan dalam jurnal berstatus “dunia” sebagai syarat bergraduat setelah bertahun-tahun meneroka ilmunya.

Lingkungan sastera jadi rusuh dan gempita. Sementelah dalam dunia sastera tanah air, mereka yang bergelar 'profesor' tidaklah seramai dalam bidang tujahan lainnya.

Walhal para pengkaji sastera sangat menguasai bidang dan keilmuan yang dimilikinya. Mengapa mahu menidakkan kepakarannya?

Mengejar ranking

Untuk mengejar 'ranking' dunia, pengkaji sastera terpaksa mengorbankan wang ringgit, dan maruah barangkali.

Walhal dunia sastera mendidik masyarakat menjadi manusiawi, bukan hipokrasi. Dunia sastera mengasuh masyarakat menjadi ihsani, bukan korupsi.

Begitu yang terungkap dalam sastera tradisi, dan mempunyai makna dalam keelokan peribadi. Perhatikan Gurindam 12 hasil karya Raja Ali Haji yang dapat mencelik akal budi:

Ini gurindam pasal yang pertama,

Barang siapa tiada memegang agama,

sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empat,

maka ia itulah orang yang ma'rifat,

Barang siapa mengenal Allah,

suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri,

maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.

Barang siapa mengenal dunia,

tahulah ia barang yang teperdaya.

Barang siapa mengenal akhirat,

tahulah Ia dunia mudarat.

Tahukah masyarakat tentang garapan indah nan bermakna? Sastera sesungguhnya mempunyai ketinggian martabat, yang dapat membuka cakerawala manusia.

Hasil karya sastera yang bermutu dapat menyuguh pembaca kepada ibrah, dan iktibar mengharungi liku dan onak cabaran dunia.

Perhatikan pula syair Perahu hasil karya Hamzah Fansuri sebagai renungan semua:

Inilah gerangan suatu madah

Mengarangkan syair terlalu indah

Membetuli jalan tempat berpindah

Di sanalah i'tikad diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu

Ialah perahu tamsil tubuhmu

Tiadalah berapa lama hidupmu

Ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman

Hasilkan kemudi dengan pedoman

Alat perahumu jua kerjakan

Itulah jalan membetuli insan.

Pengorbanan

Maka, sastera memerlukan pengorbanan untuk para pengkaji dan pembaca. Berkorban masa menumpukan perhatian yang rapi untuk mengkaji dan menulisnya sebagai tatapan jagat raya.

Pengkaji sastera perlulah menawarkan sarat pedoman dan panduan kepada pembaca.

Tanpa menumpukan kepada jurnal yang hanya rakus mengaut keuntungan, tulisan yang dihasilkan dapat disebarluaskan untuk lapisan khalayaknya.

Hasil kajian sastera tidak hanya berlegar dalam jurnal bikinan Barat semata-mata.

Kegiatan menulis perihal sastera dalam akhbar, dan majalah perlu dihangatkan semula.

Malahan buku-buku sastera yang memperkatakan tentang pendekatan, teori dan kritikan sastera wajar disubur kembali untuk rujukan anak bangsa.

Manakala pembaca dan pengulit sastera pula, wajar memilih dan menyaring bahan bacaannya.

Buku sastera mutakhir seperti Watak dan Perwatakan dalam Sastera: Islam, Barat, Melayu (Universiti Putra Malaysia, 2020), Sastera Melayu Islam Konsep, Teori dan Aplikasi (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2021), Esei dan Kritikan dalam Novel Remaja (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2022), Teori dan Kritikan Penilaian dan Wacana (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2022), Konsep dan Genre Kesusasteraan Melayu (Universiti Malaya, 2023), dan lain-lainnya wajar dijadikan bacaan wajib untuk para mahasiswa pengajian sastera.

Hasil karya sastera yang mengungguli anugerah, sayembara, dan peraduan wajar dibeli, dan dihayati anak muda.

Tanah air memiliki sejumlah buku kajian sastera, dan ribuan karya kreatif bermutu yang telah dinobatkan dalam pelbagai pengiktirafan, maka, baca dan raihlah ilmunya.

Berkorban melabur sejumlah wang untuk membeli buku berkualiti sebagai bahan rujukan menulis kajian yang bukan dicuplik secara semberono merupakan sahsiah mulia demi lestari sastera dalam membangun nusa.

Sebagaimana ungkapan Imam Syafie: “Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat”, untuk renungan menjunjung sastera dan menjulang makna pengorbanan dengan siap siaga.

Sastera merupakan haruman adab untuk membugar jiwa. Ayuh, perkasa sastera Melayu tercinta!

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah pensyarah di Fakulti Bahasa Modendan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, dan juga Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!