Menang besar gara-gara tekaan betul
ANCHORAGE - ALASKA. Seorang wanita dari bandar Anchorage, Alaska memenangi AS$311,652 (RM1,289,440) dalam sebuah pertandingan tekaan.
Patricia Andrew berjaya meneka dengan betul, tarikh dan masa sebuah tripod akan jatuh ke dalam air ekoran permukaan ais yang mencair di Sungai Tanana, berhampiran bandar Nenana.
Andrew meneka permukaan sungai tersebut akan mencair pada 14 April, sekitar jam 12.21 pagi (waktu tempatan), sekali gus menjatuhkan tripod yang diletakkan di atasnya.
Penganjur pertandingan tahunan Ice Classic berkata, ketika mengumumkan keputusan Jumaat lalu, Andrew merupakan satu-satunya peserta yang berjaya membuat tekaan tepat.
Setiap tahun penduduk Alaska yang berminat akan membeli tiket bagi meneka waktu dan hari sebuah tripod yang diletakkan di atas permukaan sungai yang beku akan jatuh ke dalam air setelah ais mencair.
Sekiranya tiada peserta yang berjaya meneka dengan betul, maka peserta dengan tekaan minit paling hampir akan dikira sebagai pemenang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!