Dua lagi kematian jemaah haji Malaysia
MAKKAH - Dua kematian terbaharu melibatkan jemaah haji Malaysia yang berada di Tanah Suci berlaku pada 30 Jun lalu menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai empat orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kematian ketiga melibatkan seorang jemaah lelaki yang berusia 72 tahun.
Katanya, punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.
Ujar Mohd Na'im, kematian keempat juga melibatkan jemaah lelaki berusia 60 tahun dan punca kematian adalah serangan angin ahmar serta kegagalan jantung.
"Kedua-dua jemaah haji ini merupakan sebahagian daripada tiga orang yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwukuf kerana berada dalam keadaan koma.
"Saya dan Pengurusan Kanan Tabung Haji (TH) mengucapkan salam takziah kepada waris mangsa dan sama-samalah kita berdoa agar semua urusan waris dipermudahkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Abraz Al Janadriyah di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Sementara itu katanya, jumlah jemaah haji yang sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan TH adalah seramai 95 orang, manakala 15 lagi dirawat di Hospital Arab Saudi.
Kata beliau, operasi haji untuk musim 1444H/2023M yang bermula pada 21 Mei 2023, kini telah pun sampai di kemuncaknya dengan berakhir operasi Masyair yang merangkumi Arafah, Muzdalifah dan Mina.
"Semua 31,600 jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang perkara tidak diingini kecuali dua orang jemaah haji yang telah meninggal dunia sebelum Wukuf manakala tiga orang jemaah haji tidak dapat berwukuf kerana koma.
"Daripada jumlah tersebut seramai 13,219 jemaah atau 56 peratus telah meninggalkan Mina pada Jumaat, selepas melakukan Nafar Awal.
"Hari ini (Sabtu) pergerakan jemaah haji yang melaksanakan Nafar Thani mula bergerak balik ke Makkah bermula jam 6.23 pagi tadi dan berakhir pada jam 12.26 pagi," katanya.
Kata beliau, jemaah haji Malaysia akan mula berangkat pulang ke tanah air bermula 5 Julai dan penerbangan akhir dijangka pada 31 Julai melibatkan 98 penerbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!