Anwar arah Zaki Yamani mohon maaf
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan seorang pengguna media sosial yang berkongsi ciapan berhubung keadaan kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merosot dan sedang dirawat di hospital.
Dalam sebuah ciapan di Twitter, Anwar mengarahkan pengguna berkenaan, Zaki Yamani memohon maaf atas hantarannya itu.
“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” tulis beliau.
Terdahulu, pengguna Twitter berkenaan menulis sebuah kenyataan biadap terhadap keadaan kesihatan terkini Abdul Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika ini, kesihatan Abdul Hadi dilaporkan merosot dan sedang dirawat di hospital.
Anak Presiden Pas itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan berita tersebut dalam hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.
"Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!