Fabregas umum persaraan
BEKAS pemain tengah Arsenal, Barcelona dan Chelsea, Cesc Fabregas mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 36 tahun dan mendedahkan rancangannya untuk menyertai bidang kejurulatihan.
Fabregas memenangi Piala Dunia 2010 dan dua Kejohanan Eropah bersama Sepanyol selain dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dan La Liga bersama Barcelona.
"Ia penuh dengan kesedihan bahawa masanya telah tiba untuk saya menggantung but.
"Ia adalah satu perjalanan yang tidak akan saya lupakan. Dari hari pertama saya di Barca, Arsenal, Barca lagi, Chelsea, Monaco dan Como, saya akan menghargai mereka semua," katanya.
Dia memulakan kerjayanya di akademi Barcelona sebelum menyertai Arsenal ketika berusia 16 tahun pada 2003.
Dia memenangi Piala FA 2005 bersama The Gunners dan memulakan permainan ketika kekalahan 2-1 kepada Barcelona dalam final Liga Juara-Juara Eropah pada musim berikutnya.
Dia kembali ke Barcelona pada tahun 2011 dan menyertai Chelsea selepas tiga tahun di Camp Nou.
Fabregas kemudian berpindah ke Monaco pada tahun 2019 dan sepanjang musim lalu bersama kelab divisyen dua Itali, Como. Dia akan terus bersama kelab itu untuk membimbing skuad simpanan dan remaja.
"Sebuah kelab dan projek yang menarik minat saya. Ia adalah pasukan bola sepak yang membuatkan hati saya terpikat sebaik tiba di sini.
"Ia hadir pada masa yang tepat dalam karier saya. Saya akan mengambil peluang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!