Mohamad Sabu adakan lawatan ke Itali, Hungary
PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan lawatan ke Rom, Itali dan Budapest, Hungary bagi mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian dengan negara berkenaan, bermula Ahad hingga 8 Julai.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Mohamad akan menghadiri sidang pleno Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) ke-43 di Rom.
Sidang berkenaan merupakan platform bagi setiap ketua delegasi menyampaikan kenyataan negara di bawah agenda Semakan Keadaan Makanan dan Pertanian yang bertemakan ‘Pengurusan sumber air untuk empat terbaik: pengeluaran terbaik, pemakanan terbaik, persekitaran terbaik dan kehidupan terbaik, bagi mencapai Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan’ pada tahun ini.
Menurut KPKM semasa persidangan FAO tersebut beliau akan bertemu rakan sejawat Menteri Pertanian, Kedaulatan Makanan dan Perhutanan Itali Francesco Lollobrigida bagi mesyuarat dua hala bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk kerjasama ekonomi, pelaburan dan teknikal.
"Pertemuan ini juga akan digunakan sebagai peluang untuk meneroka akses pasaran baharu bagi produk pertanian negara dalam usaha meningkatkan keseimbangan perdagangan hasil pertanian antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan Mohamad akan turut bertemu Ketua Pengarah FAO, Dr. Qu Dongyu bagi berbincang perkara berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan serta nutrisi global, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan FAO dalam pelbagai sektor berkaitan pertanian.
Menteri itu akan meneruskan lawatan ke Budapest pada 6 Julai bagi mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertanian Hungary István Nagy dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, pemeteraian memorandum berkenaan akan mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam bidang pertanian, meningkatkan kemahiran teknikal dan kepakaran pegawai, memudah cara akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Hungary serta membolehkan kedua-dua negara merangka program kerjasama baharu yang bersesuaian.
Menurut KPKM, Mohamad turut dijemput untuk menyampaikan ucaptama di Majlis Penganugerahan Program Doktor Falsafah di Hungarian University of Agriculture and Life Sciences (MATE). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!