Peniaga maut disyaki ditikam bekas suami
KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Seorang peniaga maut dipercayai ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian awal pagi Ahad di Taman Desa, Pasir Tumboh di sini.
Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu turut mengakibatkan lelaki berkenaan cedera parah di bahagian perut.
Mangsa yang meninggal dunia berusia dalam lingkungan 30-an dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini manakala bekas suaminya turut dirawat di hospital sama.
Sementara itu, seorang saksi memberitahu menyedari kejadian yang berlaku selepas dihubungi rakannya yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian.
Wanita berusia 30-an itu kemudiannya bergegas menjenguk melalui tingkap dan mendapati ambulans dan trak polis berada di pekarangan rumah sewa mangsa sebelum mengejutkan suami yang sedang tidur.
"Kami diberitahu beberapa individu mengenai penemuan mayat wanita yang didakwa ditikam di rumah itu, manakala seorang lelaki didapati cedera parah dalam rumah sama," katanya.
Difahamkan mangsa menyewa di kawasan perumahan itu sejak dua bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhamad Zaki berkata, mangsa adalah ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat 13 kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan kejadian dikatakan berlaku sekitar 3 pagi.
"Siasatan awal mendapati suspek adalah bekas suami kedua mangsa dan berpisah sejak enam tahun lepas.
"Mangsa sebelum itu pernah berkahwin dan dikurniakan tiga anak (dengan suami pertama)," katanya.
Muhamad Zaki berkata, motif awal kejadian dipercayai akibat cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai teman lelaki dan suspek ingin mengajak agar mangsa kembali kepadanya.
Katanya, polis merampas satu pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!