Lebuh raya sesak tapi lancar
JOHOR BAHRU - Rata-rata pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menyifatkan aliran trafik agak lancar di lebuh raya berkenaan di sebaik pertambahan kenderaan pada hari terakhir cuti sempena Hari Raya Aidiladha pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Skudai pada Ahad mendapati aliran trafik di plaza tol berkenaan agak lancar di kedua-dua arah (utara, selatan).
Abdul Aziz Muhammad, 59, berkata, pergerakan trafik dilihat memang agak lancar walaupun bulanan kenderaan dilihat bertambah.
Justeru katanya, kesemua pemandu diharap berhati-hati dan mengamalkan pemanduan berhemah jika mahu tiba dengan selamat ke destinasi.
"Saya dalam perjalanan ke Shah Alam... mulanya risau juga kalau-kalau 'sangkut' dalam jem (kesesakan) nanti.
"Tapi setakat ini saya dapati pergerakan kenderaan memang agak lancar... walaupun menjangkakan kenderaan lebih banyak di jalan berbanding hari-hari biasa.
"Tapi bagi saya, sebenarnya kalau jem ada baiknya juga... orang tak bawa kereta laju-laju; kalau jalan lengang memang akan pecut punyalah!" katanya kepada Sinar Harian.
Seorang kakitangan kerajaan, Mohd Hadznizam Hadir, 35, pula berkata, kesesakan di lebuh raya PLUS sememangnya sudah dijangkakan sejak awal.
Malah katanya, ketika pulang beraya baru-baru ini, kesesakan memang berlaku di beberapa lokasi seperti di laluan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan dan beberapa lokasi lain.
"Kalau tanya saya, pasal highway PLUS ni, saya tak kisah sangat sebab memang expect (jangka) kesesakan beberapa tempat macam di Pedas - Linggi dan lain-lain tempat berhampiran.
"Tapi kesesakan untuk masuk ke Singapura (Woodlands) atau keluar dari Singapura, memang agak luar biasa.
"Isteri saya rakyat Singapura dan untuk raya haji kali ni saya sekeluarga beraya ke Yishun, Singapura... Nak keluar tadi pun dah mula nak jem dan saya memang jangkakan jem di beberapa lokasi lagi selepas ini," katanya.
Sementara itu, bagi Arieff Irfan Mohd Mazlan, 22, dia sememangnya menjangkakan kesesakan berlaku pada Ahad apabila orang ramai berpusu-pusu pulang ke destinasi masing-masing setelah cuti panjang sempena Hari Raya Aidiladha.
Menurutnya lagi, keadaan itu (kesesakan) dijangka bertambah menjelang waktu petang dan mungkin sampai ke tengah malam.
"Masa balik ke kampung saya di Terengganu pada Hari Raya Aidiladha lalu, jalan masih lagi lengang dan bertolak awal pagi.
"Pada hari raya kedua, saya bertolak ke Johor Bahru dan alhamdulillah, trafik masih lagi lancar dan hari ini saya dapati keadaan mula sesak sedikit kerana kenderaan semakin bertambah menjelang waktu petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!