Motosikal lawan arus dirakam ketika siaran langsung FB
IPOH - Sebuah motosikal dirakam bergerak melawan arus ketika laporan siaran langsung Facebook Sinar Harian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara di sini pada Ahad.
Kenderaan tersebut ditunggang seorang lelaki dari arah susur keluar Plaza Tol Ipoh Utara menuju masuk ke lebuh raya berkenaan.
Tindakan itu menyebabkan beberapa kenderaan membunyikan hon menegur perbuatan lelaki tersebut, namun tidak diendahkan.
Bagaimanapun, tidak berlaku kejadian tidak diingini disebabkan tindakan tersebut.
Sebelum ini media melaporkan beberapa kejadian kemalangan maut akibat tindakan individu yang membawa kenderaan melawan arus.
Dalam perkembangan lain, keadaan trafik di PLUS menghala ke selatan menunjukkan pertambahan kenderaan sejak jam 9.30 pagi lagi.
Beberapa lokasi mengalami kesesakan jalan raya akibat pertambahan kenderaan antaranya di Bidor ke Sungkai, Kuala Kangsar ke Kawasan Rehat dan Rawat Kuala Kangsar, Sungkai ke Slim River serta Gopeng ke Tapah.
Kesesakan sejauh sembilan kilometer berlaku pada jam 10.27 pagi berikutan lori rosak di KM320 dari Gopeng ke Tapah, namun insiden berkenaan selesai pada jam 12.24 tengah hari tadi berdasarkan maklumat Twitter @plustrafik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!