APM perkemas perjawatan kontrak sebelum serap tetap

Aminurrahim (tengah) pada sidang media sempena Program Ibadah Korban APM Wilayah Persekutuan di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kuala Lumpur pada Ahad. - Bernama
Aminurrahim (tengah) pada sidang media sempena Program Ibadah Korban APM Wilayah Persekutuan di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kuala Lumpur pada Ahad. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan memperkemas perjawatan kontrak termasuk dari segi gred sebelum ia dibincangkan di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan diserap ke jawatan tetap.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, perkara itu dibuat selaras arahan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan tumpuan perjawatan adalah kepada anggota di peringkat negeri dan daerah terutamanya di kawasan terpencil.

"JPM minta kami perkemaskan untuk diangkat kepada JPA, insya-ALLAH. Kami berharap ia berjaya kerana ini merupakan tumpuan APM,” katanya dalam sidang media selepas Program Ibadah Korban Platinum APM di Ibu Pejabat APM Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai negeri-negeri di utara Semenanjung yang dijangka mengalami ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang susulan angin baratan, Aminurrahim berkata, APM sentiasa bersiap-siaga termasuk memastikan 427 anggota bersedia.

Selain itu, menurutnya APM juga akan menaikkan 40 bendera merah di menara pantai yang dikenal pasti dan berpotensi mengalami angin baratan.

"APM akan memantau di kawasan pantai yang menjadi tumpuan orang ramai dan melarang pengunjung mandi-manda di pantai susulan angin baratan,” katanya.

Semalam, MetMalaysia memaklumkan angin baratan dijangka berlaku hingga Rabu ini di negeri-negeri utara Semenanjung selain Kelantan dan Terengganu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!